Translate

Wednesday, May 7, 2014

KENAIKAN ROYALTI MINYAK: MEMAHAMI ASPIRASI RAKYAT SABAH DAN SARAWAK

Oleh SSK

SEJAK menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, saya sentiasa menghadiri jemputan rakan sejawatan saya Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, bagi istiadat perasmian persidangan DUN negeri itu. 

Pada 5 Mei lalu pun, saya hadir bersama Timbalan Speaker DUN Datuk Johnny Mositun ke istiadat perasmian persidangan DUN Sarawak.

Kali ini amat menarik kerana persidangan dirasmikan oleh TYT Sarawak yang baru, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan kerajaan negeri pula dipimpin oleh Ketua Menteri yang baru, Tan Sri Adenan Satem.

Majlis amat menarik dan penuh istiadat. Ketika jamuan tengah hari, saya duduk di meja utama bersama-sama TYT, Ketua Menteri, Speaker dan seorang Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu. Kami bersembang dan berbual. Cukup mesra. Apatah lagi semua mereka yang duduk semeja adalah kenalan saya secara peribadi.

Apa yang saya perhatikan, pimpinan kerajaan Sarawak komited dan sepakat dalam semua perkara, termasuk berkaitan pentadbiran.

Ini dapat dilihat menerusi peralihan kuasa dan kepimpinan yang saya kira begitu menarik dan sungguh teratur.  Pemimpin-pemimpin BN Sarawak mengutamakan kepentingan rakyat Sarawak dan sentiasa bersatu dalam isu-isu melibatkan hak dan kepentingan Sarawak.

Mereka mengamalkan politik pembangunan hasil perjuangan Pehin Sri Taib. Mereka turut mengamalkan pendekatan perundingan atau musyawarah dengan Kerajaan Persekutuan berkaitan hak Sarawak serta hubungan antara negeri-Pusat.

Demikianlah yang berlaku dalam persidangan DUN Sarawak kali ini.  Usul mengenai isu royalti minyak  untuk Sarawak diluluskan sebulat suara dan disokong semua pihak, termasuk pembangkang pada Selasa lepas.

Usul itu antara lain memohon Kerajaan Persekutuan menambah bayaran royalti minyak dan gas kepada Sarawak daripada lima peratus sekarang kepada 20 peratus.

Ia dibentang Abdullah Saidol (BN-Semop) dan mendapat sokongan sebulat suara daripada 68 anggota dewan yang hadir.

Ketika membentangkan usul tersebut, Abdullah berkata semakan semula bayaran royalti itu akan membolehkan negeri ini mendapat hasil tambahan untuk disalurkan secara khusus bagi melaksanakan pembangunan luar bandar.

"Sudah tentu Kerajaan Persekutuan akan mendengar dan menerima permohonan kami ini kerana kami, sebagai Barisan Nasional Negeri, adalah rakan akrab mereka, yang mempunyai wakil majoriti dalam kerajaan yang memerintah sekarang," katanya.

Abdullah berkata semakan semula bayaran royalti itu akan membolehkan Sarawak mempercepatkan rentak pembangunannya agar setanding dengan tempat lain yang sudah maju di Semenanjung.

Sementara itu, Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa), ketika menyokong usul itu menyuarakan harapannya agar tambahan royalti yang diterima kelak akan diguna secara telus, adil dan saksama.
"Melalui sokongan kuat sebulat suara dewan ini, (kejayaan mendapat bayaran royalti lebih tinggi) boleh memberi manfaat besar kepada Sarawak," katanya.

Langkah Sarawak memohon kenaikan kadar royalti minyak ini memancarkan ketegasan pimpinan negeri itu, khususnya Tan Sri Adenan sebagai penerajunya, untuk membawa kemajuan dan kemakmuran untuk rakyat.

Sejak awal lagi, Tan Sri Adenan memberi bayangan sama, yakni kenaikan royalti minyak perlu bagi membawa pembangunan lebih pesat untuk negeri itu.

Konteks yang sama juga relevan buat Sabah. Banyak persamaan antara kita. Barangkali elok bagi pemimpin kedua-dua negeri mengadakan perjumpaan formal atau tidak formal dari semasa ke semasa. Sebagai  dua negeri yang berada di Malaysia Timur, tidak salah bagi kita berunding demi kepentingan negeri dan negara.

Realitinya, memohon kenaikan royalti bukan bererti `menentang' atau `berkonfrantasi' dengan Kerajaan Pusat. Ia adalah proses mengemukakan kehendak serta aspirasi rakyat di Sabah dan Sarawak.

Di sebalik keunikan dan keindahan sosiobudaya, Sabah dan Sarawak mempunyai kekuatan dan kelebihan dari segi sosiopolitik. Kita adalah pendokong utama kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan yakin Kuala Lumpur memahami aspirasi rakyat di kedua-dua negeri ini.

No comments: