Translate

Sunday, May 4, 2014

PKR DILANDA SINDROM MENGEJAR JAWATAN

Oleh SSK

PERGOLAKAN jelas melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya berkaitan proses pemilihan pemimpin yang bermula sejak seminggu lalu. Hari-hari ada saja cerita tentang ketidakpuasan hati. Semuanya menjurus kepada perebutan jawatan di pelbagai peringkat.

Terbaru di Sungai Petani, Kedah,  proses pengundian bagi pemilihan pemimpin PKR kawasan itu terpaksa ditangguhkan, selepas nama seorang calon yang bertanding  jawatan Ketua AMK Cabang Sungai Petani `lesap' dan lawannya diisytiharkan menang tanpa bertanding.

Sebelum itu, proses pemilihan PKR Cabang Batang Sadong, Sarawak turut dipertikai dan keputusannya terpaksa dibatalkan berikutan timbul dakwaan berlaku kegiatan manipulasi undi semasa bekalan elektrik terputus di tempat mengundi.

Pertikaian turut berlaku bagi jawatan tertinggi, khususnya Timbalan Presiden yang menjadi tumpuan ramai -- sama ada dalam PKR sendiri, dalam sekutu Pakatan Rakyat mahupun penganalisaan politik dan masyarakat netizen -- sehinggakan ada dakwaan mengatakan berlaku kegiatan manipulasi undi.

Perhatian menjurus kepada jawatan Timbalan Presiden kerana ia memberi gambaran terhadap aspirasi perjuangan Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Ismail.

Penyandang Timbalan Presiden, Azmin Ali, yang dikatakan menjadi `favourite' pasangan suami-isteri yang mengemudi PKR itu, sudah jauh mendahului Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Saifuddin Nasution.

Tetapi Azmin dikaitkan dengan kegiatan memanipulasi undi dalam pe­milihan parti itu yang sedang berlangsung.

Sebagai orang politik, saya turut mengikuti perkembangan yang berlaku dalam PKR. Bagi saya, pergolakan yang berlaku ini semuanya menjurus kepada keinginan mendapat jawatan, tempat dan kedudukan.

Nyata PKR kini dilanda sindrom mengejar jawatan, untuk dijadikan `tiket' mencapai kedudukan.

Tumpuan menghala kepada persaingan antara Azmin dan Khalid. Ia bukan rahsia lagi. Kedua-dua mahu mengejar jawatan Nombor Dua dalam parti kerana ia menjadi `lesen besar'  untuk mendapat kedudukan dalam kerajaan negeri Selangor.

Khalid mengintai jawatan Timbalan Presiden untuk memperkukuhkan kedudukannya dalam parti, manakala Azmin mempertahan jawatan Timbalan Presiden untuk mengintai jawatan Menteri Besar Selangor, sedang Saifudin hadir dalam persaingan sekadar untuk mengurangkan sokongan buat Khalid.

No comments: