Translate

Saturday, May 10, 2014

SALLEH BIDAS PEMUDA MCA DAN PERTAHAN KM

KOTA BELUD: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak membidas kenyataan pemuda MCA yang mempersoalkan kesungguhan kerajaan melalui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Sambil menyifatkan seruan pemuda MCA supaya ESSCOM ditutup atau dibubarkan susulan kes penculikan di Pulau Baik Isnin lepas sebagai tidak bertanggungjawab, beliau berkata kenyataan itu tidak memberi penyelasaian kepada masalah yang  dihadapi seperti kata pepatah " kerana seekor nyamok kelambu dibakar".
Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah berkata pemuda MCA juga seolah memperlekehkan pengorbanan dan sumbangan anggota keselamatan dan pertahanan yang bertungkus lumus menjaga keselamatan dan keamanan di bawah pengawasan ESSCOM.
“Jelas sekali, pemuda MCA kelihatan tidak memahami  bagaimana sistem kerajaan berfungsi termasuk organisasi ESSCOM. Ketua Menteri (Datuk Seri Musa Aman) selaku pengerusi ESSCOM memantau sendiri keadaan ini dan adalah tidak adil bagi MCA untuk mempersalahkan beliau (Musa).
  “MCA sepatutnya memahami fungsi dan peranan ESSCOM serta memahami keadaan sebenar  keselamatan di kawasan pantai timur sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang tidak bertanggungjawab.  katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertandingan menembak anjuran Angkatan Relawan Malaysia (RELA) dekat sini, hari ini.
Salleh berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda MCA pusat Chong Sin Woon yang mencadangkan ESSCOM ditutup (shut down) dan memberikan kuasa penuh kepada Majlis Keselamatan Negara untuk mengurus isu keselamatan di Sabah, terutama kes penculikan.
Chong juga dipetik sebagai berkata bahawa Ketua Menteri sepatutnya bertanggungjawab ke atas isu keselamatan di negeri ini dan kejadian penculikan yang berlaku di ESSZONE.
"Kenyataan Pemuda MCA itu bersifat peribadi dan tidak masuk akal,” kata Salleh.
Mengenai saranan pemuda MCA agar Kementerian Pertahanan mengambil alih ESSCOM, Salleh berkata 
ESSCOM kini dianggotai pasukan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
  “Dalam unit pasukan keselamatan dan pertahanan iaitu ATM, PDRM dan APMM, agensi itu masing-masing mempunyai pengarah operasinya sendiri.
  “Tanggapan MCA ESSCOM tidak membabitkan tentera adalah tidak betul. Jadi soal ESSCOM diletakkan di ATM sama sekali tidak timbul. Peranan ESSCOM lebih kepada menyelaras operasi pelbagai agensi ini, sekali gus meningkatkan kerjasama dan kolaborasi," katanya.
ESSCOM ditubuhkan 1 April tahun lepas susulan pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu.

No comments: