Translate

Saturday, June 7, 2014

ADAKAH INI PERMULAAN TANDA ARAS PENOLAKAN RAKYAT TERHADAP PAKATAN RAKYAT?

Oleh SSK

Walaupun tewas, DAP  tidak segan silu meraikan apa yang dipanggil `Menang Dalam Kekalahan'  dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan baru-baru ini.  Calonnya yang hanya kalah dengan kelebihan 238 undi cuba digambarkan oleh DAP sebagai pertembungan antara  'David lawan Goliat' iaitu DAP sebagai 'David' manakala Barisan Nasional (BN) bertindak sebagai 'Goliath'.

Mungkin DAP berpendapat, dengan menonjolkan ketidaksepadanan (daripada segi kekuatan dan saiz jentera pilihan raya) serta perbezaan undi yang kecil, maka DAP bolehlah dikatakan telah 'memenangi' pilihan raya kecil itu atau 'menang dalam kekalahan'.

Bagaimanapun, DAP hanya melihat ruang lingkup sempit kekalahannya dengan majoriti tipis 238 undi. DAP nampaknya mudah lupa bahawa ia bermula dengan majoriti lebih 7,000 undi yang diperolehinya ketika parti itu menang bagi kawasan tersebut pada pilihan raya umum yang lepas. Ini bermakna perbezaan undi lebih dari itu iaitu sekitar 7,500 dan bukan hanya sekitar 200 undi.

 DAP cuba mengaitkan kekalahannya kepada pengurangan sedikit sokongan pengundi Cina. Salah satu sebabnya ialah ramai pengundi Cina kononnya tidak membuang undi atau tidak balik kampung untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi. Oleh itu, jumlah pengundi yang turun mengundi hanya kira-kira 67 peratus berbanding sekitar 80 peratus yang dicatatkan dalam pilihan raya umum setahun yang lepas. 

Menurut DAP, antara sebab pengundi Cina memboikot pilihan raya kecil itu ialah kerana mereka dikatakan tidak berapa senang dengan PAS yang berdegil untuk menjayakan agenda undang-undang Hudud. Pendek kata, DAP cuba mempersalahkan PAS atas kekalahan calonnya yang 'tipis' di Teluk Intan.
PAS meminta DAP untuk memperjelaskan apa yang dimaksudkannya dengan dakwaan itu. Maka, melainkan penjelasan yang boleh dipercayai dan memuaskan diberikan,  senario ini mungkin membawa dua kesan.

Kesan yang pertama ialah kemungkinan PAS akan menimbang semula keanggotaannya dalam Pakatan Rakyat. Jika PAS benar-benar ikhlas dalam perjuangannya untuk Islam, maka adalah mustahil untuk PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat, terutama apabila salah satu daripada anggota pakatan dengan secara terbuka bermusuhan terhadap Islam.

Kesan kedua pula ialah jurang perbezaan pandangan antara fundamentalis orang Islam  dan mereka yang mengambil pendirian liberal dalam PAS akan bertambah ketara.  Terdapat ramai pemimpin dalam PAS yang lebih suka melihat parti itu kekal parti tempatan di kawasan majoriti pengundi Melayu berbanding menjadi parti kebangsaan yang "mengorbankan" perjuangan Islam.

Bagaimanapun, apa yang jelas sekali ialah tindakan PKR dan pemimpinnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyepi dalam hal ini. Sambil DAP dan PAS bercakaran menyalahkan antara satu sama lain atas kekalahan calon DAP di Teluk Intan, Anwar dan PKR pula bermain politik seolah mereka tidak terlibat dalam pertengkaran antara dua anggota Pakatan Rakyat itu.

Saya rasa keadaan ini telah meletakkan Anwar atau PKR di persimpangan jalan. Jika mereka bersetuju dengan PAS maka mereka pasti akan mengecewakan DAP dan begitulah sebaliknya. Sebab itu, mereka memilih untuk berdiam diri dan berharap percakaran dalaman itu hilang begitu sahaja.

Apa pun ini adalah petanda awal penolakan rakyat terhadap pembangkang. Jadi kita akan melihat permulaan petanda aras penolakan terhadap Pakatan Rakyat seperti nasib yang menimpa   "Barisan Alternatif" 10 tahun yang lepas.

No comments: