Translate

Sunday, June 1, 2014

KAAMATAN LAMBANG KESATUAN RAKYAT

Oleh SSK

DUA hari berturut-turut, rakyat Malaysia pelbagai keturunan di Sabah membanjiri kawasan kompleks KDCA Penampang, dekat Kota Kinabalu, untuk meraikan kemuncak Pesta Kaamatan pada Jumaat dan Sabtu lepas.

Pelbagai acara tradisi diadakan dan nyata sambutan begitu meriah. Walaupun Kaamatan ini sinonim sebagai perayaan Kadazandusun, namun ia kini diraikan sebagai perayaan 1Malaysia.

Saya turut berkongsi kegembiraan perayaan itu. Kerana saya juga mempunyai ramai ahli keluarga dari etnik rumpun Kadazandusun, terutama sebelah bapa dan ibu serta isteri saya.

Seperti lazimnya, perayaan Kaamatan ini mempunyai signifikan tersendiri. Selain menjadi simbol perpaduan, ia juga sebagai tanda kesyukuran atas kemakmuran dan kemajuan yang dikecapi.

Intipati sambutan itu sendiri, untuk memuja semangat padi dan tanda syukur atas hasil tuaian yang banyak, merupakan simbol kesyukuran kepada Pencipta Yang Maha Berkuasa yang memberikan rezeki selama ini.

Lebih jauh dari itu, Kaamatan mengukuhkan lagi ikatan persahabatan dan kekeluargaan selain menyatukan segenap lapisan rakyat pelbagai kaum, etnik dan budaya di Malaysia, terutama di Sabah yang mempunyai lebih 32 suku semuanya.

Sebagai pemimpin di Sabah, saya turut berbangga melihat tahap kesatuan rakyat pada hari ini. Perbezaan budaya tidak menjadi penghalang, sebaliknya menjadi teras untuk saling bekerjasama.

Inilah hakikat yang menjadikan Sabah  terus maju, aman dan damai. Tidak hairanlah juga jika Sabah sering dijadikan rujukan contoh terbaik semangat 1Malaysia.

Pada kesempatan ini, saya mengajak seluruh lapisan rakyat di Sabah untuk terus mengukuhkan kesatuan demi kelangsungan kemajuan negeri ini. Marilah kita bersama-sama pimpinan negeri, baik di peringkat negeri mahupun Persekutuan, membangunkan Malaysia ke mercu jaya, menuju Wawasan 2020.

No comments: