Translate

Friday, June 20, 2014

PENGGUNA PERLU BERHEMAH DAN BIJAK BUAT PERBANDINGAN

Oleh SSK

Menjadi kebiasaan saya berkunjung ke kedai atau shopping mall setiap kali ada kelapangan. Biasanya pada hujung minggu bila tiada program rasmi atau di kawasan.

Baru-baru ini, saya sempat berjalan-jalan meninjau premis perniagaan di Kota Kinabalu. Nampaknya, kesibukan mulai terasa. Orang ramai berpusu-pusu, membeli keperluan dan barangan. Barangkali untuk persiapan awal menjelang Ramadan hujung minggu depan.

Premis-premis perniagaan juga mulai membuat hiasan serta iklan-iklan tawaran. Inilah kelaziman setiap kali menjelang sesuatu perayaan -- baik Hari Raya Aidilfitri, Krismas, Tahun Baru Cina mahupun lain-lain perayaan.

Peniaga melakukan pelbagai cara menarik perhatian. Tujuannya untuk melariskan jualan. Daripada tawaran `buy one free one' hinggalah kepada diskaun sehingga 75 peratus. Ditambah pula dengan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah lumayan.

Di sinilah perlunya pengguna bersikap bijak dan berhati-hati ketika berbelanja. Supaya tidak terpedaya dengan tawaran-tawaran promosi yang hebat-hebat itu.

Jika pengguna rambang mata, kita boleh terjebak dengan perangkap peniaga yang cuba mengaut keuntungan di sebalik taktik promosi dan tawaran yang dibuat itu.

Misalannya, menjelang Hari Raya Aidilfitri ini, pengguna perlu berhemah dalam perbelanjaan. Sama ada untuk membeli barangan keperluan harian atau berbelanja untuk membuat perhiasan. Jangan nanti terpaksa menanggung beban akibat berhutang semata-mata mahu menukar perabot baru, langsir baru dan sebagainya.

Secara peribadi, saya suka membandingkan harga sesuatu barangan itu sebelum membelinya. Misalnya kasut, tali pinggang, baju t dan kameja. Kalau di Kuala Lumpur, saya biasa singgah dan tinjau-tinjau di Pavilion dan Sogo, di Kota Kinabalu pula biasanya saya ke 1Borneo, Suria Sabah dan Kompleks Karamunsing.

Selain itu, barangan keperluan harian seperti makanan juga perlu dibuat perbandingan harganya. Saya selalu berbincang dengan isteri saya dalam hal-hal berkaitan makanan, kerana isteri saya rajin ke pasar membeli-belah sendiri. 

Malahan, kami sering bersama ke tamu-tamu mingguan. Kerana di tamu seperti itu, kita boleh mendapatkan barangan yang segar seperti sayur-sayuran pada kadar harga rendah terus daripada orang kampung yang berniaga.

Dalam membuat perbandingan harga sesuatu barangan, saya juga suka memanfaatkan kemudahan ICT dengan melayari internet kerana kini kerajaan menyediakan portal khas yang membolehkan kita menyemak harga pelbagai jenis barangan.

Apa yang perlu, kita cuma klik ke laman web www.kpdnkk.gov.my, akan terpaparlah portal pengguna bijak di mana kita boleh membuat carian harga sesuatu produk itu mengikut negeri, tempat dan kawasan. Malahan, ia turut memperincikan di kedai mana harga paling murah sesuatu produk itu boleh diperolehi.

Saya ambil contoh santan kelapa satu kilogram, harga runcit di Pasar Besar Kota Kinabalu adalah RM7 berbanding RM8 di Pasar Awam Larkin, Johor Bahru, dan RM6 di Pasaraya Taman Mulia, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Seperti perayaan lain, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan telah menyenaraikan barangan terkawal sempena Aidilfitri ini, maka ia memudahkan kita membuat perancangan perbelanjaan, mengelak pembaziran dan mengurangkan risiko terlebih bajet.

Saya pernah juga menulis topik ini ketika menjelang Ramadan tahun lepas, sebagai iktibar kepada masyarakat kita dalam merancang perbelanjaan menghadapi sesuatu musim perayaan. Saya katakan bahawa sofa dan langsir yang masih elok tidaklah perlu diganti  baru hanya semata-mata kerana jiran telah membeli yang baru.

Bagi mengekalkan ekonomi mapan dalam sesebuah institusi kekeluargaan, perancangan perbelanjaan sangat penting. Peribahasa Melayu `ukur baju di badan sendiri'  memberi mesej jelas supaya kita jangan berbelanja di luar kemampuan.

Penggunaan kad kredit dan skim `bayar ansur-ansur' (installment) yang banyak ditawarkan kedai menjual perabot dan barangan elektrik misalnya adalah `jerangkap samar' (booby trap) yang boleh menjerumuskan kita ke kancah kemuflisan.

Saya sering berpesan dan mengingatkan pentingnya kita menghargai dan mengurus setiap pendapatan yang diperolehi. Status kehidupan kita bukan diukur daripada jumlah gaji diperolehi, tetapi dinilai dari jumlah wang yang boleh disimpan.

Dalam mengatur perbelanjaan ini, kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif membantu rakyat. Satu daripadanya ialah pengenalan Kedai Rakyat 1Malaysia yang membolehkan orang ramai memperolehi barangan pada kadar harga berpatutan.

Kesimpulannya, kita perlu berhemah dalam mengurus perbelanjaan selain memanfaatkan segala inisiatif dan kemudahan yang disediakan kerajaan.

No comments: