Translate

Sunday, June 29, 2014

TINGKATKAN IBADAH, PERKUKUH KESATUAN DAN AMALKAN KESEDERHANAAN

Oleh SSK

HARI ini (29 Jun) umat Islam memulakan ibadah puasa. Menjelang petang bazar Ramadhan meriah di sana-sini. Itulah tradisi dan rutin umat Islam seluruh dunia.

Apapun, sepanjang Ramadhan Al-Mubarak ini, kita perlu mengambil iktibar pengalaman silam selain meningkatkan amal ibadah dengan mengimarahkan masjid dan surau.

Pertama, kehadiran Ramadhan ini harus disyukuri oleh kita semua kerana dapat menikmatinya dalam suasana cukup aman dan damai, dalam sebuah negara yang makmur di bawah payung pimpinan berwawasan.

Justeru, seluruh umat Islam adalah dituntut untuk memperkukuhkan kesatuan dan jalinan perpaduan demi mengekalkan keamanan sedia ada. Sempena dengan bulan mulia ini, marilah kita bulatkan tekad bersama-sama demi kemajuan agama dan bangsa kita.

Kedua, kita juga perlu mengingati golongan yang kurang bernasib baik. Jika kita mempunyai kelebihan, barangkali inilah masa bagi kita untuk bersedekah kepada insan-insan yang memerlukan perhatian ini.

Dengan menghulurkan bantuan atau sumbangan, ia sudah tentunya meringankan kepayahan hidup golongan berkenaan, sekali gus memberi kegembiraan dan membolehkan mereka sama-sama menunaikan ibadah dan kewajipan.

Ketiga, dalam berbelanja sepanjang Ramadhan ini, kita hendaknya janganlah rambang mata ketika berkunjung ke bazar-bazar. Lazimnya pelbagai juadah istimewa dijual peniaga. Jika kita tidak bijak mengatur perbelanjaan, ia memungkinkan kita membazir belanja sehingga banyak makanan/minuman yang dibeli terpaksa dibuang.

Saya masih ingat kunjungan saya ke beberapa bazar pada musim lalu. Saya melihat memang banyak juadah-juadah istimewa dijual, dan jika kita menyusuri deretan gerai, tidak mustahil jika kita terbeli makanan atau minuman melebihi jumlah yang sepatutnya.

Mungkin satu cara mudah untuk mengawal perbelanjaan di bazar ialah menetapkan jumlah wang yang disediakan untuk membeli barangan, misalnya RM20 atau RM30 saja. Apabila semua wang berkenaan sudah diguna, maka kita bolehlah berhenti dan berpatah balik. Ini cara kita mendisiplinkan diri ketika berbelanja.

Keempat, biasanya sepanjang Ramadhan ini, banyak premis-premis perniagaan mengadakan `jualan runtuh'  pelbagai jenis barangan -- daripada pakaian dan perhiasan sehingga kepada perabot dan perkakasan rumah.
Di sini juga kita perlu berhemah ketika berbelanja. Jangan kita berbelanja melebihi kemampuan. Jangan kita terikut-ikut jiran sehingga sanggup berhutang (sama ada menggunakan kad kredit atau along). Ini penting kerana hutang itu akan terus membebankan kita untuk tempoh yang panjang.

Kita tidak boleh mengikut rasa, sebaliknya mesti bijak berfikir menggunakan minda. Jika perkakasan, langsir atau perabot dalam rumah masih berkeadaan elok, barangkali tidaklah perlu menukar yang baru.

Kesimpulannya, marilah kita tempuhi Ramadhan Al-Mubarak dan Syawal ini dengan kesederhanaan tapi penuh pengertian dan penghayatan.

Selamat menunaikan ibadah puasa!

No comments: