Translate

Friday, July 11, 2014

KEHARMONIAN KAUM PROSES DUA HALA

Oleh SSK

Hari ini, 68 kumpulan masyarakat awam dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berganding bahu   membentuk satu gerakan baru dipanggil Negara-Ku yang dipengerusikan bersama Datuk Ambiga Sreenevasan dan sasterawan negara Datuk A. Samad Said. 

Misi dan visi Negara-Ku yang diwar-warkan ialah "membentuk semula negara dalam berdepan dengan pelampau dan perkauman dalam semua bentuk yang diberi ruang berkembang." 

Dilihat sejenak, perjuangan gerakan baru itu nampaknya agak murni namun apabila diteliti dengan rapi ia sebenarnya sama seperti Bersih, satu gerakan anti kerajaan. Malah kenyataan yang dikeluarkan semasa pelancaran pun berunsurkan politik dengan nada anti-kerajaan.

"Tidak ada kepimpinan yang ditunjukkan...kepimpinan apa bercakap mengenai perpaduan tetapi pada masa sama menaja perpecahan," kata Ambiga yang dilihat seolah melemparkan kritikan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak. 

Pendek kata, kerajaan, atau pentadbiran Najib nampaknya sering dipersalahkan berhubung perkara itu selain peningkatan daripada segi fahaman perkauman dan ekstremis di negara ini. Sudah menjadi lumrah bagi pembangkang melemparkan tohmahan kononnya  'semua itu adalah salah kerajaan atau Umno".

Walaupun kita bersetuju bahawa rakyat negara kita kelihatan berpecah belah ekoran peningkatan fahaman perkauman dan pelampau, namun kita tidak boleh menafikan bahawa pembangkang turut memainkan isu perkauman dan agama ke tahap yang melampau. 

Bolehkah kita menafikan bahawa usaha sayap kanan pergerakan Cina mewujudkan sekolah Cina bukan berbentuk pecah-belah? Bagaimana pula ura-ura untuk memansuhkan Perkara 153 dalam Perlembagaan dan gesaan untuk menamatkan dasar Bumiputera, khususnya mengenai pendidikan? 

Walaupun saya katakan bersetuju isu perkauman dan fahaman pelampau menjadi masalah di Malaysia (seperti yang nyatakan dalam artikel-artikel sebelum ini), saya tidak bersetuju pandangan bahawa isu ini hanya dimainkan oleh kerajaan atau Umno. Pembangkang juga melakukan perkara yang sama untuk memancing undi.
 
Oleh itu, Negara-Ku seharusnya cuba untuk menjadi badan yang tidak berat sebelah dan tidak menjadi wadah bagi pembangkang untuk menghentam kerajaan jika ia mahu mendapat sokongan golongan liberal dan sokongan daripada kedua-dua pihak kerajaan mahupun pembangkang. Dalam keadaan sekarang, imej Ambiga dan Samad tercemar ekoran penglibatan mereka dalam gerakan pembangkang Bersih.

No comments: