Translate

Tuesday, August 26, 2014

RUJUK KERAJAAN NEGERI BERKAITAN ISU TANAH: SALLEH

SALLEH


KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said berkata mana-mana pemimpin Barisan Nasional (BN) Persekutuan perlu merujuk kepada Kerajaan Negeri terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan menyentuh isu yang terletak di bawah bidang kuasa negeri.

Beliau berkata ia penting untuk mendapat gambaran jelas terlebih dahulu mengenai sesuatu perkara bagi mengelak kekeliruan dan salah faham.

"Kita dalam keluarga besar BN ada saluran yang boleh digunakan. Pandangan semua pihak harus didengar terlebih dahulu.

"Isu tanah adalah dalam bidang kuasa kerajaan negeri dan ia perkara sensitif bagi rakyat negeri ini," katanya ditemui selepas mengadakan jamuan Aidilfitri untuk kakitangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah merujuk kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Tenom baru-baru ini berkaitan isu tanah, yang kemudiannya mencetuskan rasa tidak senang dan kontroversi di kalangan rakyat negeri ini.

Beliau berkata mana-mana pihak tidak seharusnya membuat kenyataan spontan tanpa usul-periksa, apatah lagi jika isu yang disentuh itu dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

"Rujuk dan dapatkan gambaran sebenar daripada kerajaan negeri untuk elak kekeliruan, jangan sampai kenyataan itu melukakan hati orang Sabah.

"Dalam isu tanah ini, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman sememangnya mengambil pelbagai langkah dan usaha menanganinya, malahan tindakan proaktif sudah pun diambil," katanya.

No comments: