Translate

Tuesday, August 19, 2014

SKMM, PDRM DIMINTA PANTAU GERAKAN HASUT RAKYAT SABAH

GIMIK PELANCARAN TABUNG AMAN PALESTIN
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap individu dan kumpulan tertentu yang membuat kenyataan berbaur hasutan menerusi laman sosial, termasuk mengajak rakyat untuk Sabah keluar Malaysia.

Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said berkata terdapat fahaman ekstrem itu amat berbahaya dan boleh mengugat kestabilan dan keamanan negara.

"Mereka menghasut dengan mengajak untuk kibarkan bendera Sabah saja dan tidak Malaysia, mempersoalkan kontrak pembentukan Malaysia, dan mahu membawa isu Sabah ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Semua ini akan menanamkan semangat benci dan memberontak serta khianat kepada negara. Ia harus dibanteras segera dengan undang-undang sedia ada. Keadaan ini sangat bahaya dan perlu dibendung dari awal agar ia tidak menyusahkan pada masa hadapan.

"Tidak salah untuk memperjuangkan hak-hak Sabah dalam konteks hubungan negeri dan Persekutuan melalui proses persaingan politik. PDRM khususnya harus memberi perhatian serius kerana ada undang-undang yang seharusnya dikuatkuasakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilifitri Jabatan Penerangan Sabah, di sini kelmarin.

Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah menegaskan individu dan kumpulan yang dilihat aktif di laman-laman sosial membawa slogan-slogan yang akhirnya boleh memecahbelahkan Sabah.

"Contohnya, mereka mengutarakan konsep 'self-determination' yang mana ia menjurus kepada memerdekakan Sabah...mereka juga mempersoalkan pembentukan Malaysia dengan mengatakan Malaysia tidak wujud selepas Singapura meninggalkan Malaysia.

"Isu-isu ini sangat bahaya sekiranya tidak dibendung kerana pada saya menuntut hak buat Sabah adalah berbeza dengan menuntut kemerdekaan.

"Soal autonomi dan kemerdekaan juga adalah dua perkara yang berbeza. Saya melihat kumpulan ini sangat ekstrem dan jika tidak ditangani lebih awal ia boleh membahayakan kestabilan politik negara," katanya.

Salleh menganggap individu dan kumpulan itu sebagai pengkhianat negara dan tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka agar ia tidak berkembang sehingga rakyat yang tidak faham keliru dengan kenyataan barbaur hasutan itu.

Menurutnya, ada juga dalam kalangan individu menyatakan di laman sosial Facebook agar tidak mengibarkan bendera Malaysia sebaliknya kibarkan bendera Sabah sahaja. Keadaan itu sudah menunjukkan satu penderhakaan terhadap negara.

"Hakikatnya, kita bersetuju 31 Ogos adalah Hari Merdeka dan bersetuju 16 September adalah Hari Malaysia.

"Penjelasan awal perlu diberikan agar rakyat tidak keliru khususnya generasi muda yang kurang memberi perhatian kepada sejarah kerana sekiranya mereka terpengaruh dan tertanamnya semangat memberontak, ini sudah tentu membahayakan," katanya.

Beliau berkata, kalau berbeza pendapat, pendapat Sabah perlu diberi keutamaan dan menuntut hak Sabah itu adalah tidak salah kerana ia adalah dalam lingkungan setiap orang berpolitik tetapi janganlah sampai tahap mahu memerdekakan Sabah.

Sementara itu, Salleh berkata beberapa bahagian Umno telah mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing dan semuanya berjalan dengan baik.

"Ini menunjukkan kematangan ahli Umno di semua peringkat dan kematangan ini sudah pasti akan mengukuhkan lagi Umno di Sabah sekali gus menguatkan pentadbiran kerajaan di samping menjelaskan dasar kerajaan kepada rakyat.

"Saya lihat usul-usul yang dicadangkan juga memberikan manfaat kepada Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya.

"Contohnya, Kota Belud telah meluluskan usul perpaduan sebagai asas kepada keharmonian...ini penting kerana ia mengingatkan kita perpaduan itu adalah teras di negara ini," katanya.

No comments: