Translate

Saturday, August 16, 2014

UMNO SABAH UNIK, BERBEZA DENGAN DI SEMENANJUNG: SALLEH



KOTA BELUD: Umno Sabah hanya boleh diurus oleh pemimpin yang berjiwa Sabah kerana ia mempunyai keunikan tersendiri serta tidak sama dengan Umno di negeri lain, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said Keruak.

Beliau berkata Umno Sabah mempunyai sejarah yang berbeza, manakala suasana dan isu di negeri ini tidak sama dengan di Semenanjung.

Namun, katanya, dengan dokongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib selaku Presiden parti yang sentiasa memahami aspirasi dan kehendak orang Sabah, UMNO Sabah diyakini mampu terus bertahan dan kekal relevan sepanjang zaman.

"UMNO Sabah tidak boleh disamakan dengan UMNO di negeri lain. Di sini, bukan semua ahli UMNO beragama Islam sebagaimana di Semenanjung. Ada ahli UMNO pergi ke gereja (Kristian), ada yang tidak beragama (pagan), sambut Krismas dan `Aramai tih', tapi semua mereka tetap bersatu padu dan saling menghormati, malah boleh makan dan duduk semeja pada majlis-majlis keramaian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Mesyuarat Perwakilan UMNO Kota Belud dan Jamuan Hari Raya Wakil-Wakil Rakyat dan UMNO Kota Belud, di sini hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman merasmikan majlis berkenaan.

Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah berkata UMNO menjadi wadah baru Bumiputera di negeri ini, dan telah membawa banyak perubahan sosiopolitik serta dimensi pembangunan.

"Yang penting pemimpin-pemimpin UMNO Sabah di semua peringkat senantiasa bermuafakat, tidak berpuak-puak, tidak mengamalkan budaya tikam dari belakang ataupun bermain politik talam dua muka `di depan cakap manis, di belakang cakap asam', sebaliknya mendahulukan organisasi dan pejuangan yang berteraskan kesetiaan," katanya.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud turut mengumpamakan perjuangan politik umpama gerabak kereta api dengan hanya sebuah kepala di hadapan.

"Kota Belud mendokong prinsip `berketua satu', sejak dahulu hingga sekarang. Inilah kunci kekuatannya," katanya. 


No comments: