Translate

Friday, September 19, 2014

FAHAMI KONSEP `AGREE TO DISAGREE'

Oleh SSK

1. PERBEZAAN pandangan dan perselisihan pendapat adalah perkara lumrah. Ia biasa berlaku dalam mana-mana organisasi, kelompok mahupun antara individu. Kerana tidak semua dilahirkan dengan tahap pemikiran yang sama. 

2. Manusia bukan seperti kereta yang dibina di satu kilang yang mesti mengikut spesifikasi ditentukan. Sebab itu, fizikal manusia tidak akan sama antara satu sama lain. Ada tinggi rendah, kecil besar. Demikian juga dalam pemikiran, ada tinggi rendah akhlaknya dan kecil besar otaknya.

3. Inilah rumusan saya terhadap polemik yang dicetuskan oleh Datuk James Ligunjang berkaitan isu tahun kemerdekaan.

4. Jika pun Datuk James Ligunjang tidak setuju dengan pandangan mana-mana pihak, terhadap apa isu sekalipun, dia sepatutnya tidak menggunakan bahasa sedemikian. Penggunaan bahasa dan perkataan-perkataan itu menggambarkan keperibadian seseorang. Dan dalam hal ini, apabila seseorang menggunakan perkataan yang tidak sepatutnya diungkapkan oleh siapapun, apatah lagi seorang bergelar Datuk, maka itu mencerminkan kecelaruan fikirannya dan emosi yang tidak terkawal.

5. Datuk James Ligunjang sepatutnya kena terima hakikat bahawa perbezaan pendapat dalam mana-mana isu adalah perkara biasa. Kita jangan emosi, sebaliknya kita kena kawal diri.

6. Kita boleh berbahas berdasarkan fakta masing-masing, bukan dengan kata nista. Dan akhirnya biar khalayak yang buat penilaian. Kita tidak boleh paksa orang lain terima pandangan kita bulat-bulat. Kita kena memahami konsep `agree to disagree'.

7. Sebenarnya, pandangan saya itu (berhubung tahun kemerdekaan) adalah reaksi kepada soalan pemberita dalam satu majlis baru-baru ini, sebagai response kepada kenyataan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum itu yang menyatakan bahawa mulai tahun depan tidak perlu disebut tahun ke berapa kemerdekaan negara bagi mengelak kekeliruan fakta.

8. Malahan, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, telah pun mengumumkan perkara ini pada sambutan Hari Malaysia di Miri, Sarawak pada 16 September lepas. 

9. Secara peribadi, dan sebagai seorang sarjana politik, saya mendukung konsep `agree to disagree' kerana di gelanggang politik, perbezaan pendapat tidak boleh dielakkan. Ia lumrah dalam setiap pertubuhan politik. Lebih ramai ahlinya, maka lebih banyak pandangan dan pendapat.

10. Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah tidak menyetujui pendapat saya berkaitan isu 1MDB. Beliau (Dr Mahathir) melihat dari perspektif hutang dan saya melihat dari sudut CSR. Jelas ada perbezaan pendapat. Masing-masing menghormati pendapat masing--masing, tanpa hilang rasa penghormatan. Tanpa menggunakan bahasa emosi.

11. Satu lagi contoh perbezaan pendapat ialah berkaitan isu tanah di Tenom yang dibangkitkan oleh Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi. Pendapatnya disanggah banyak pihak dan saya turut mengulas, akhirnya mencetuskan polemik. 

12. Perdebatan berdasar fakta masing-masing dan dari sudut berlainan tanpa menggunakan bahasa yang tidak sepatutnya.

13. Yang penting, kita jangan jadikan perbezaan untuk berbalah secara peribadi. Perbezaan sebenarnya sesuatu yang menarik kerana akhirnya akan membawa kita bersatu atas kebenaran. Natijahnya, raikan perbezaan pendapat.

No comments: