Translate

Sunday, October 26, 2014

SEDERHANA MENJADIKAN HIDUP LEBIH INDAH

Oleh SSK

1. SAYA tertarik dengan intipati ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena perhimpunan sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Putrajaya pada Sabtu.

2. Perdana Menteri menekankan mengenai prinsip Wasatiyyah yang menjadi rahsia kejayaan dalam mengemudi pentadbiran negara.

3. Formula Wasatiyyah yang dipraktikkan kerajaan merangkumi beberapa elemen tunjang iaitu kesederhanaan, berimbang dan mementingkan kecemerlangan, sekali gus membawa pembangunan kepada masyarakat secara menyeluruh berdasarkan ajaran Islam.

4. Saya setuju dan sependapat pentingnya kita bersederhana dalam semua aspek kehidupan. Baik dalam berbelanja, bersahabat mahupun berpolitik. Ini penting untuk menjadikan hidup kita lebih indah.

5. Maknanya kita kena pilih jalan tengah -- berbelanja mengikut kemampuan, bersahabat dengan semua tanpa garis pemisah, dan berpolitik jangan terlalu extreme.

6. Berbelanja tanpa mengikut kemampuan menjerumuskan kita ke kancah hutang, bersahabat mengikut kelompok kita terpisah dan tersisih, dan pegangan politik extreme tidak menjamin kebahagiaan, sebaliknya membawa salah faham dan kesangsian.

7. Contoh mudah dalam berbelanja, mengapa harus membeli dua kereta jika sebuah kereta sudah cukup. Apalagi jika pembelian itu mengikat leher kita bertahun-tahun dengan hutang di bank.

8. Contoh kedua dalam persahabatan, mengapa harus kita bina tempok pemisah dengan hanya bersahabat pada golongan dan darjat tertentu saja tanpa mendampingi kelompok lain? Bukankah ini akan menyebabkan wujud komuniti tidak berimbang dan saling memandang serong antara satu sama lain?

9. Dan ketiga, kenapa harus kita terlalu taksub  dan extreme dalam berpolitik sehingga mengetepikan nilai-nilai murni perjuangan politik itu sendiri?

10. Percayalah, jika kita memilih jalan tengah dalam semua hal ini, kehidupan kita akan menjadi lebih ceria, apatah lagi dalam konteks keunikan dan kepelbagaian kaum dan agama di negeri Sabah ini.

11. Dalam laman Facebook,kadangkala saya `upload' petikan-petikan menarik yang boleh dijadikan inspirasi dan renungan dalam kehidupan harian kita.

12. Berikut saya perturunkan tiga petikan mutakhir dari laman Facebook saya.

13. "Cari kawan biar macam cermin, kita gembira, dia pun gembira...kita sedih, dia pun sedih. Jangan cari (kawan) macam duit syiling, depan lain belakang lain."

14. "Life is like the ocean. It can be calm or still, and rough or rigid, but in the end, it is always beautiful."

15. "Barangsiapa meringankan beban orang yang dalam kesulitan maka Allah akan meringankan bebannya di dunia dan di akhirat (HR. Muslim)."

16. Sama-sama kita merenunginya demi menjadikan hidup kita lebih indah dan ceria!

No comments: