Translate

Monday, November 24, 2014

MENYINGKAP UNGKAPAN "2K" PERDANA MENTERI

Oleh SSK

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membuat komen yang amat menarik mengenai ungkapan atau prinsip "2K" - Knowledge (pengetahuan) dan Skill (kemahiran) yang perlu dimiliki anggota Umno bagi meraih semula sokongan pengundi di bandar.

Sesungguhnya, inilah cabaran atau masalah yang selama ini dihadapi parti pemerintah -- pada mulanya Parti Perikatan dan kemudiannya, Barisan Nasional (BN) - sejak 35 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1969.

Malah sejak 35 tahun yang lalu, pola sokongan pengundi bandar lebih berpihak kepada parti pembangkang atau lebih tepat lagi, mereka mengundi menentang parti pemerintah yang serupa kecenderungannya di seluruh dunia.

Sebagai contoh, di Thailand tunjuk perasaan anti-kerajaan tertumpu di bandaraya Bangkok manakala penduduk luar bandar menyokong kerajaan. Keadaan yang serupa juga berlaku di Jakarta, Manila, Hong Kong dan sebagainya.

Dalam hal ini, Malaysia tidak terkecuali, dan pada tahun 1969 Parti Perikatan menyedari ia telah kehilangan sokongan penduduk bandar dan apabila BN ditubuhkan, ia mempelawa parti-parti pembangkang termasuk PAS, Gerakan, PPP dan lain-lain untuk menyertai parti gabungan itu.

Pada tahun 1969, Parti Perikatan hampir kehilangan kuasa di Perak dan Selangor dan kehilangan kuasa di Pulau Pinang dan Kelantan. Pada tahun 1974, selepas BN ditubuhkan, ia sudah diambang kehilangan kuasa di Selangor jika tidak kerana hakikat Kuala Lumpur dijadikan sebagai Wilayah Persekutuan, dan dengan itu, Selangor berjaya diselamatkan daripada jatuh ke tangan pembangkang -- kerana kehilangan Kuala Lumpur kepada pembangkang tidak lagi menjejaskan kedudukannya di Selangor.

Nampaknya bukan mudah memenangi hati pengundi bandar bukan sahaja di negara kita tetapi di seluruh dunia.Ini kerana pengundi bandar lebih berkemampuan (atau dalam kategori golongan berada) berbanding pengundi luar bandar. Berbeza dengan tahap kebergantungan pengundi luar bandar kepada kerajaan, pengundi bandar tidak terlalu mengharap bantuan kerajaan. Oleh itu, untuk menarik sokongan pengundi bandar, Umno tidak lagi boleh bermain 'politik kampung'.


Inilah yang dimaksudkan dengan ungkapan 2K. Umno mesti mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk mendalami harapan pengundi bandar dan seterusnya memenuhi harapan mereka. Dengan kewujudan kaedah komunikasi yang moden termasuk penggunaan internet, arena politik dunia kini bertambah canggih. Pengundi, khususnya di kawasan bandar, kini lebih bermaklumat.

Jadi apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri adalah betul bahawa anggota Umno harus lebih berpengetahuan dan mahir jika mahu memenangi semula sokongan pengundi bandar.

Kebanyakan strategi politik masa lampau tidak lagi "mengena" untuk pengundi bandar. Jangkaan dan harapan mereka amat tinggi, dan melainkan jika Umno boleh menyesuaikan strategi termasuk memenuhi harapan pengundi bandar, saingan pilihan raya umum akan datang bertambah hebat dan mencabar.



No comments: