Translate

Friday, November 14, 2014

PERANGI FAHAMAN EXTREME, JANGAN BIARKAN MENULAR KE SABAH

Oleh SSK

1. HAMPIR semua akhbar di Sabah pada Khamis menyiarkan laporan penafian Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghalang sambutan perayaan Krismas dalam kawasan kampusnya.

2. Saya hairan kenapa cerita ini tiba-tiba timbul sehingga pihak UMS terpaksa membuat penafian. Rupanya, ia dimainkan oleh segelintir puak yang terpengaruh dengan fahaman extreme.
MASJID ATAS BUKIT PADANG BANDARAN KK

3. Cerita tersebut menjadi viral menerusi media sosial sehingga menjadi bualan ramai dan mencetuskan polemik, sedangkan soal larangan itu tidak pernah berlaku pun.

4. Ia bertambah hangat apabila cerita tersebut tersebar beberapa hari selepas kumpulan yang mendakwa sebagai aktivis pelajar dari Semenanjung, dilarang daripada mengadakan pidato di universiti berkenaan.

5. Apabila dua cerita ini dikaitkan, maka bertambah sensasi lagi kontroversinya.

6. Menurut penjelasan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah, pihaknya tidak pernah melarang penganjuran sambutan Krismas.

7. “Pihak universiti dengan rendah diri menafikannya dan menyifatkan ia sebagai salah faham. Cadangan sambutan Krismas telah awal mendapat kelulusan dan pihak UMS sendiri turut menyediakan bajet untuk pelaksanaannya,” demikian penjelasannya.

8. UMS turut menyokong hasrat pelajar yang inginkan penganjurannya dibuat secara meriah dengan melibatkan komuniti setempat seiring dengan usaha merakyatkan universiti.

9. Justeru, UMS memberi pilihan sama ada sambutan diadakan di luar kampus bagi memudahkan kehadiran lebih ramai pengunjung, katanya.

10. Dengan penjelasan UMS itu, kita berharap ia menjadi noktah kepada cerita yang tiada kebenaran itu.
GEREJA SECRET HEART KK

11. Inilah bahaya menyebar berita yang belum ada kesahihannya. Ia boleh memesongkan fakta dan pemikiran jika tidak disekat.

12. Sebenarnya soal tidak membenarkan rakyat Malaysia meraikan perayaan agama masing-masing sepatutnya tidak timbul. Ini kerana kebebasan meraikan perayaan agama termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Tidak boleh dipertikaikan.

13. Tetapi bagi puak yang terpengaruh fahaman extreme, mereka sanggup melakukan apa saja. Hanya untuk mencapai agenda sempit, memecahbelah kesatuan dan perpaduan.

14. Kita di Sabah sebenarnya tidak berlaku hal seperti ini. Kita saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Tahap perpaduan begitu subur.

15. Jika ada pemikiran sedemikian, ia timbul kerana ada segelintir yang terpengaruh dengan fahaman extreme dan perlu disekat.

16. Kita di Sabah sudah biasa amalkan budaya hormat menghormati. Hubungan kekeluargaan antara kaum berlainan agama bukan sesuatu yang ganjil. Saya sendiri `celebrate' perayaan Krismas dengan kalangan ipar yang beragama Kristian.

17. Justeru, kita kena pupuk fahaman tolak ansur dan persefahaman yang diwarisi sejak sekian lama di Sabah. Sebarang pemikiran extreme tidak harus dibiar menular ke sini, kerana ia menjejaskan keharmonian di sini.

18. Kita perlu tegas dalam memerangi pemikiran yang tidak selari dengan orang Sabah.

No comments: