Translate

Wednesday, December 31, 2014

MELANGKAH BERSAMA KE 2015

Oleh SSK
BERBASIKAL AKTIVITI MENYIHATKAN

1. Esok kita melangkah ke Tahun Baru 2015 yang penuh dengan pelbagai cabaran dan kemungkinan, baik dalam politik mahupun ekonomi. Tahun baru yang penting bagi Malaysia di pentas dunia. Pastinya menguji dan mengujakan semua.

2. Dalam bidang ekonomi, antara yang bakal menarik perhatian ialah pelaksanaan GST. Ramai masih tertanya-tanya bagaimana senario ekonomi kesan dari pelaksanaannya, terutama kepada kumpulan bawahan.

3. Malaysia juga menjadi perhatian di arena antarabangsa apabila menjadi satu daripada lima anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) serta sebagai Pengerusi Asean. Kedua-duanya jawatan penting yang menguji kewibawaan kita sebagai negara membangun di pentas dunia.

4. Sementara di gelanggang politik, suhunya dijangka panas pada 2015 dengan cerita 1MDB Bhd, kisah Undang-undang Hudud (yang akan dibawa ke Parlimen), penghakiman kes liwat Anwar Ibrahim, pertelingkahan Pakatan Rakyat dan model politik baru Umno serta perdebatan antara kumpulan liberal dan extreme Melayu.

5. Di Sabah, tahun 2015 juga memungkinkan beberapa cabaran termasuk dari aspek keselamatan dan kesudahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Kedua-dua soal ini saling berkaitan kerana menyentuh isu kebanjiran pendatang asing.

6. Mengambil kira kemungkinan-kemungkinan itu, adalah penting bagi rakyat seluruhnya mengukuhkan kesatuan selain bersederhana dalam pendekatan. Ini kerana perpaduan dan kesederhanaan menjadi kunci penyelesaian terhadap setiap cabaran.

7. Dalam menghadapi cabaran ekonomi misalnya, kita hendaklah bijak dan sentiasa berhemah dalam berbelanja dengan menyusun keutamaan perbelanjaan. Kita sudah lama maklum mengenai pelaksanaan GST mulai 1 April 2015, maka sewajarnya kita membuat persediaan awal menghadapinya. Hari ini, masih belum terlambat merangka pelan tindakan. Jangan membuat perbelanjaan atau pembelian yang tidak perlu. Tangguhkan sementara sehingga sudah jelas kelihatan kesan-kesan GST nanti.

8. Dalam pertemuan dengan rakyat peringkat akar-umbi, saya sering mengingatkan mereka pentingnya kita untuk sentiasa berhati-hati.  Jangan cepat melatah apabila menghadapi masalah. Stay cool dan relaks, tapi fokus. Baik dalam cabaran ekonomi mahupun politik.

9. Dalam konteks politik hari ini, saya sering tegaskan bahawa suasananya sudah jauh berbeza berbanding dahulu. Kita kena terima hakikat ini. Rakyat sudah pandai menilai dan bukan mudah dipengaruhi. Maka, pemimpin kena lebih matang dalam menghadapi keadaan politik seperti ini.

10. Dalam konteks kita di Sabah, geopolitiknya juga berlainan dengan di Semenanjung. Perpaduan kita tetap utuh biarpun dalam kepelbagaian kaum etnik dan kepercayaan. Tidak wujud pergeseran antara kaum dan agama.
KEUNIKAN BUDAYA SABAH

11. Sabah adalah model gagasan 1Malaysia yang sebenar. Dalam setiap keluarga pasti akan ada bermacam latarbelakang dan kepercayaan. Ia terikat kukuh, antaranya disebabkan perkahwinan campur yang menjadi lumrah sejak dahulu lagi.

12. Maka, sebagai orang Sabah, kita wajib untuk terus bersatu walau apapun perbezaan kita. Kita perlu bersama-sama menangkis fahaman extreme dalam agama dan kaum. Kita lakukan ini demi untuk pertahankan keharmonian antara kita.

13. Satu lagi yang selalu saya katakan ialah supaya setiap orang menjaga kesihatan dengan bersenam dan makan makanan seimbang. Kita mahu melahirkan rakyat, khususnya di Sabah yang senantiasa sihat minda dan fizikal.

14. Jika kita semua dapat memahami prinsip ini, maka tahun 2015 bukan sesuatu yang sukar untuk diharungi. Bersama kita mendepani cabaran tahun baru ini.

No comments: