Translate

Thursday, January 22, 2015

SABAH CONTOH TERBAIK KEBEBASAN AKHBAR DI MALAYSIA - SALLEH TUN SAID

KOTA KINABALU, 22 Jan (Bernama) -- Sabah mungkin contoh terbaik dalam amalan kebebasan akhbar di negara ini, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Tun Said.
    Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai apa yang dinamakan "pendekatan liberal" oleh kerajaan Malaysia, yang menilai kebebasan akhbar sebagai komponen utama tadbir urus demokratik, terutamanya hak untuk kebebasan memberi pendapat.
    "Setiap hari dalam media Sabah, kita dapati atau dengar pihak pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) mengkritik parti pemerintah Barisan Nasional (BN) atau kerajaan, dan kadangkala artikel mereka diterbitkan di muka depan (akhbar-akhbar tempatan).
    "Begitu juga, para pemimpin BN negeri juga bebas mematahkan kritikan mereka. Senario ini telah berjalan berdekad lalu. Dengan perkataan lain, media Sabah nampaknya menikmati margin yang begitu luas dalam kebebasan akhbar berbanding amalan media di negeri-negeri lain di negara ini," katanya dalam ceramah 'Prinsip Demokrasi - Hak kepada Kebebasan Memberikan Pendapat' sempena lawatan anggota Institut Akhbar Malaysia di sini hari ini.
    Bagaimanapun, Salleh berkata walaupun peruntukan Artikel 5 hingga 15 Perlembagaan Persekutuan jelas menggariskan hak bagi kebebasan memberikan pendapat, ia adalah salah bagi sesiapa untuk mendakwa bahawa "dia mempunyai hak mutlak untuk berbuat apa sahaja yang dikehendaki atas nama kebebasan".
    Atas alasan itu, Salleh berkata Parlimen Malaysia menyediakan beberapa sekatan terhadap perkara-perkara sensitif yang boleh mengancam keselamatan negara.
    "Saya percaya kebebasan bukan suatu yang mutlak, malah kebebasan memberi pendapat. Kebebasan memberi pendapat tidak boleh diambil secara membuta tuli, tanpa menghiraukan sensiviti agama, etika dan nilai-nilai moral.
    "Di Sabah sahaja, kita mempunyai lebih daripada 32 kumpulan etnik dengan pelbagai budaya, kaum dan agama. Oleh yang demikian, kebebasan memberi pendapat tidak boleh melampaui batas atau melanggar nilai-nilai ini," katanya.
    Oleh itu, beliau berkata demokrasi di sebuah negara seperti Malaysia dengan kepelbagaian masyarakat perlu difahami dalam konteks kebebasan bersyarat.
    Bekas ketua menteri itu berkata kebebasan harus diiringi dengan tanggungjawab sambil berkata "lebih-lebih lagi dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia yang masih mempunyai banyak isu-isu sensitif".
    Beliau berharap media memainkan peranan mereka dengan bertanggungjawab terutama berhubung dengan penyebaran maklumat yang sensitif demi kebaikan rakyat, negeri dan negara seperti yang dibayangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam konsep 1Malaysia yang mengutamakan perpaduan negara.
    -- BERNAMA

No comments: