Translate

Saturday, January 17, 2015

SEKAT FAHAMAN FANATIK DI SEKOLAH: SALLEH

KOTA BELUD: Kerajaan harus memantau dan mengetatkan peraturan sedia ada khususnya ke atas sekolah swasta dan persendirian di negara ini, yang disyaki menanamkan ideologi fanatik, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said.

Beliau berkata langkah itu perlu bagi menyekat penyebaran fahaman fanatik dalam kalangan pelajar, sekali gus mengelak anak-anak terpengaruh dengan ajaran yang extreme sehingga boleh mencetuskan keadaan huru-hara dan permusuhan.

"Oleh itu, adalah penting kita harus memantau dan mengetatkan peraturan ke atas sekolah-sekolah swasta yang disyaki menanamkan ideologi fanatik agama kepada pelajarnya," katanya berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia di SMK Pekan 2 di sini hari ini.

Salleh berkata menerusi pemantauan yang dilakukan, maka tindakan tegas lebih awal boleh dilakukan oleh kerajaan.

Katanya, sebarang perkara yang boleh menimbulkan pertelingkahan seharusnya dibincang secara tertutup atas semangat saling menghormati.

"Ini penting demi mengekalkan suasana aman, khususnya kita di Sabah yang sememangnya aman damai sejak merdeka lagi," katanya.

Dalam pada iu, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata sistem pendidikan harus mampu melahirkan generasi baru Sabah yang berdisiplin, memiliki keyakinan diri, berkemahiran serta berfikiran sederhana dalam hubungan antara kaum dan agama.

"Mereka (pelajar) wajib memahami sejarah pembentukan negara dan mampu merebut peluang ekonomi dan pekerjaan yang tersedia di mana-mana pun, termasuk di luar negara.

"Sudah pun terbukti, anak-anak Sabah mampu dan boleh bersaing dalam semua profesion," katanya.

No comments: