Translate

Wednesday, January 28, 2015

URUS PERBEZAAN PANDANGAN, HORMATI KEPUTUSAN KETUA - ANTARA NAJIB DAN TUN M

NAJIB
Oleh SSK

1. BARU-BARU ini, saya terbaca satu laporan mengenai apa yang dikatakan sebagai `perang' antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

2. Ini berikutan pandangan terbuka dan teguran pedas yang dibuat mantan Perana Menteri terhadap pentadbiran Datuk Najib.

3. Selain disiar dalam media arus perdana, cerita itu juga terpapar menerusi laman sosial. Maka, banyaklah komen termuat. Ada yang positif. Tidak kurang yang negatif.

4. Saya ada membaca komen-komen Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan serta tawaran Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang mahu menjadi `orang tengah' mendamaikan Dr Mahahtir dan Datuk Najib.

5. Secara peribadi, saya mengenali kedua-dua pemimpin ini. Tun Mahathir saya kenal sejak sebelum saya menjadi Ketua Menteri, manakala Datuk Najib saya rapati sehingga hari ini.


6, Pada pendapat saya, perbezaan pandangan adalah perkara biasa. Ia lumrah dalam politik. Sebabnya, masing-masing mempunyai pendapat sendiri. Bergantung dari sudut mana sesuatu hal itu dilihat.
TUN M

7. Maka dalam hal Tun Mahathir ini, yang pernah mentadbir negara lebih 20 tahun, tidak salah bagi beliau memberi pandangan, apatah lagi dengan statusnya sebagai seorang negarawan. 8. Namun, beliau tidak boleh memaksa orang lain menerima pandangannya. Kerana orang lain juga mungkin mempunyai pandangan berbeza.

8. Dalam politik, yang mustahak bagaima kita mengurus perbezaan pendapat ini. Kita kena bijak mengurusnya. Ini kerana perbezaan pendapat tidak semestinya membawa keburukan dan perbezaan pendapat juga tidak menjanjikan kebaikan.

9. Maka dalam institusi kepartian dan pemerintahan di negara ini, kita kena terima hakikat mengenai sistem ketua -- iaitu Perdana Menteri dalam kerajaan dan Presiden parti dalam institusi politik. Ini hakikat mutlak dan perlu dihormati.

10. Saya kira, Datuk Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno sentiasa bersikap terbuka serta mendengar setiap pandangan sebelum membuat sesuatu tindakan atau keputusan. Oleh yang demikian, kita kena hormati keputusannya yang saya cukup yakin untuk kebaikan majoriti.

11. Saya tidak berapa setuju jika ada yang guna istilah `berperang' dalam konteks perbezaan pendapat antara Tun Mahathir dan Datuk Najib. Ini kerana Najib tidak `melawan' sekalipun Tun Mahathir kelihatan seperti menyerang bertubi-tubi.

No comments: