Translate

Sunday, February 15, 2015

BAHAYA INDOKTRINASI AGAMA

Oleh SSK


Kerajaan Malaysia telah menyatakan kebimbangannya tentang hasrat segelintir penganut Islam di negara ini yang ingin berlepas ke Timur Tengah untuk menyertai perjuangan kumpulan militan Negara Islam (IS). 

Malah, terdapat umat Islam dari seluruh dunia, termasuk negara-negara Barat dan Australia, yang mahu melakukan perkara yang sama.

Kerajaan mungkin tertanya-tanya mengapa orang Islam begitu mudah terperdaya dan mudah dipujuk untuk mengangkat senjata selain mempertaruhkan nyawa dalam mengejar misi yang berbahaya, namun kejadian itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang misteri. 

Saya lebih cenderung menyalahkan pendidikan agama yang dipelajari umat Islam terbabit. Malah, isu ini kadang kala boleh dikaitkan denga indoktrinasi agama. Umat Islam diajar bahawa jihad adalah wajib untuk semua umat Islam, dan umat Islam turut diingatkan bahawa jika mereka mati ketika berjihad maka mereka dianggap mati syahid dan dijamin masuk syurga.

Oleh itu apa yang mereka lakukan adalah sesuatu yang mereka percaya sebagai kewajipan agama yang mana ganjaran yang bakal diperolehi ialah syurga. Masalahnya terletak cara umat Islam dididik. Apabila agama dilihat terlalu mudah dan jihad diterjemahkan kepada memperjuangkan Tuhan dan Syahid sebagai ganjaran untuk berbuat demikian, maka ramailah orang Islam pergi ke Timur Tengah untuk berjuang sama seperti Kristian lakukan semasa Perang Salib kira-kira 1,000 tahun yang lalu.

Pendidikan agama tidak boleh terlalu mudah sehingga umat Islam memperolehi maklumat yang salah. Tidak dinafikan jihad adalah sebahagian daripada ajaran Islam namun jihad hanya terpakai atau wujud dalam keadaan tertentu. Keadaan semasa di Timur Tengah yang menyaksikan berlakunya perang saudara di kalangan umat Islam menganut mazhab berlainan, tidak boleh ditafsirkan sebagai perjuangan mempertahankan Islam terhadap keganasan bukan Islam.

Umat Islam tidak boleh lupa bahawa perang saudara yang pertama antara umat Islam pada zaman Khalifah Madinah telah memecahbelahkan umat Islam dan sehingga hari ini isu itu masih menjadi masalah di negara-negara Islam di seluruh dunia. Ini bukanlah perjuangan yang dimaksudkan jihad dalam erti kata yang sebenar.

Tanggungjawab kini terletak kepada pihak berkuasa agama untuk menyemai atau menyampaikan ajaran Islam yang sebenar kepada umat Islam di Malaysia. Islam tidak seharusnya dipolitikkan sehingga umat Islam keseluruhannya di Malaysia dianggap sebagai militan dan berfikir bahawa perjuangan seumpama itulah yang telah diperintahkan Allah.Seperti yang kita katakan dalam dunia akademik, "tidak ada pelajar yang jahat - apa yang ada hanya guru jahat". Jika orang Islam menjadi sesat kita harus menyalahkan guru dan bukan pelajar. Oleh itu kerajaan perlu mengambil berat tentang apa dan bagaimana cara terbaik mengajar umat Islam supaya rakyat Malaysia tidak dilihat terlalu militan dan berfikir mereka berjuang untuk menjayakan misi murni melalui kegiatan militan.

No comments: