Translate

Monday, March 2, 2015

Selaraskan bantuan bantu peladang: Salleh

BEAUFORT: Kerajaan Pusat menerusi pelbagai kementerian dan agensinya menyediakan peruntukan yang besar untuk membantu masyarakat peladang di Sabah, kata Presiden Kehormat Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said.

Sehubungan itu, katanya, penyelarasan harus dilakukan oleh semua pihak berkaitan untuk mempercepatkan proses pelaksanaannya.

"Langkah ini bertujuan memastikan agar peruntukan yang disediakan itu sampai kepada golongan sasar di negeri ini," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-37 Pertubuhan Peladang Kawasna (PPK) Beaufort di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPNS) Datuk Mohd Nazri Abdullah dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Perak, Datuk Seri Dr Raja Ahmad Zainuddin.

Beliau berkata penyelarasan dari segi penyaluran peruntukan penting agar ia memenuhi matlamat dan objektif diharapkan.

"Kita harap kerajaan memikirkan mekanisme terbaik di mana boleh pelaksanaan dari segi penyaluran bantuan ini dikendalikan oleh kementerian atau agensi negeri," katanya.

Dalam pada itu, Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah mahu golongan peladang meningkatkan ilmu pengetahuan berasaskan teknologi baru, termasuk membabitkan diri dalam pertanian organik.

Beliau turut meminta supaya golongan muda dilibatkan dalam bidang pertanian dan menjadikan ia sebagai pekerjaan, seiring falsafah pertanian sebagai satu perniagaan.

Katanya, sektor pertanian menjanjikan pulangan lumayan, justeru golongan belia tidak harus berasa rendah diri jika menceburi bidang ini sebagai kerjaya mereka.

No comments: