Translate

Monday, April 6, 2015

KRITIKAN TUN M TERHADAP DATUK NAJIB: PEMBANGKANG BERSORAK GEMBIRA

Oleh SSK


1. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan telah menerangkan hampir semua persoalan yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Penjelasan dengan fakta diberikan secara terperinci. Contohnya isu BR1M, 1MDB, jet kerajaan dan terbaru kes bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar.

2. Namun, Tun M nampaknya tidak berpuas hati dengan jawapan-jawapan tersebut. Tun M bertegas mahu kehendaknya diikuti.

3. Bagi saya, Tun M berhak untuk mempunyai atau memberi pandangan sendiri, tetapi dia tidak berhak untuk memaksa pemimpin lain menerima bulat-bulat pandangan beliau. Itulah hakikat demokrasi. PM Datuk Najib berhak mempunyai pendapat berbeza. Dan ia harus dihormati semua, termasuk oleh Tun M.

4. Semasa Tun M menjadi Perdana Menteri, tidak semua keputusannya dipersetujui oleh ahli-ahli parti, tapi ahli-ahli parti terus menyokong keputusan itu atas dasar dan prinsip menghormati keputusan ketua No 1.

5. Contoh di Sabah semasa isu penggiliran jawatan Ketua Menteri, UMNO Sabah membantah dengan kuat mengikut saluran parti, tapi akhirnya kita terima walaupun kita tidak bersetuju.

6. Seperti saya katakan dalam tulisan sebelum ini, Tun M ada agenda sendiri dan kita jangan terperangkap. Tekanan-tekanan yang diberinya ke atas Perdana Menteri ada tujuan dan matlamat tersirat.

7. Sementara kita menghormati Tun M sebagai seorang negarawan, ia tidak bermakna semua pandangan negarawan itu dituruti. Pandangan dan pendekatannya mungkin sesuai pada eranya, tapi mungkin tidak sesuai pada zaman ini.

8. Justeru, jika timbul pilihan antara Tun M dan pemimpin No 1 kita pada hari ini, sudah tentu kita pilih Datuk Najib demi kelangsungan kepimpinan parti kita memimpin kerajaan bersama parti-parti komponen lain.

9. Sebagai pemimpin No 1, saya yakin Datuk Najib mempunyai pandangan jauh setiap kali membuat sesuatu keputusan atau tindakan. Pertimbangannya mengambil kira pandangan semua pihak demi kepentingan masyarakat terbanyak.

10. Tun M sendiri telah katakan sebelum ini bahawa dia telah menemui Datuk Najib dan menerangkan pandangannya. Ini bermakna Perdana Menteri tidak menerima bulat-bulat pandangan beliau dan ini tidak salah dalam sistem musyawarah kita.

11. Contohnya, Tun M persoalkan BR1M. Kerajaan bertegas melaksanakannya kerana ia bukan saja termaktub sebagai janji dalam manifesto BN, malah mendapat sokongan padu daripada masyarakat.

12. Jelas sekali bahawa serangan Tun M terhadap Datuk Najib ini ada agenda politik tersendiri. Dan melihat kritikan ini, maka pembangkang DAP, Pas dan PKR sudah tentu menjadi kumpulan paling gembira dan bertepuk sorak!

No comments: