Translate

Saturday, April 11, 2015

Sabah dan Sarawak kekal sebagai simpanan tetap BN: Salleh


 KOTA BELUD:  Sabah dan Sarawak akan tetap menjadi `simpanan tetap' kepada Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pengerusi BadanPerhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said, berkata ini kerana rakyat kedua-dua negeri di Borneo ini merasakan Najib adalah Perdana Menteri yang memahami kehendak mereka.

Malah, katanya, Najib secara terbuka mengiktiraf bahawa Sabah dan Sarawak adalah rakan penubuhan negara Malaysia menerusi perisytiharan 16 September sebagai cuti umum.

"Mengambil kira keadaan ini, kita cukup yakin bahawa Sabah dan Sarawak akan tetap menjadi simpanan tetap bagi BN di bawah pimpinan Najib," katanya  selepas merasmikan mesyuarat Jawatankuasa Umno Bahagian Kota Belud di sini hari ini.

Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah berkata  asas kepada pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa BN akan kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, disebabkan maklumat yang diterima bekas Perdana Menteri itu mengenai keadaan di Sabah dan Sarawak adalah tidak tepat.

"Mungkin ada pemimpin yang kecewa memberi maklumat salah kepada beliau (Tun Mahathir). Pada kami, Najib memahami perasaan orang Sabah dan Sarawak, malah sentiasa memenuhi permintaan kita," katanya.

Beliau berkata Najib bersikap terbuka dengan perkara yang dibangkitkan oleh kepimpinan BN diSabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud menegaskan pendirian Umno bahagian itu menyokong padu kepimpinan Najib untuk terus mentadbir negara dan mengurus parti.

"Kita berpendapat Najib adalah pemimpin yang mampu memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat, seterusnya membawa Malaysia mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020," katanya.

No comments: