Translate

Thursday, May 14, 2015

MALAYSIA TIDAK AKAN BANKRAP


Oleh Salleh Said Keruak
     

Greece sedang bergelut mencari dana bagi membayar balik pinjamannya sebanyak RM3 bilion kepada IMF yang kini patut dibayar.

Walaupun Greece boleh mendapatkan wang sejumlah itu dalam masa yang singkat, namun ia  masih tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi, kerana pada bulan yang akan datang, jumlah yang lebih besar sekitar RM10.5 bilion pula sampai tempoh matang untuk dibayar balik.
Jelas sekali, Greece memerlukan hampir RM15 bilion dalam tempoh beberapa minggu akan datang. Pada bulan Julai ini, Greece perlu sekitar RM35 bilion manakala bulan berikutnya (Ogos) perlu RM28 bilion. Ini bermakna dalam tempoh tiga bulan, Greece perlu membayar hampir RM90 bilion,dan negara itu tidak memiliki wang sejumlah itu.
Dalam keadaan sedemikian, alternatif yang sesuai ialah dengan melanjutkan lagi tempoh pembayaran balik pinjaman sehingga 10 tahun tetapi keadaan ini akan menambah beban hutang Greece sebanyak 12 peratus yang bakal membankrapkan negara itu ke tahap yang lebih teruk.
Pendek kata, adalah mustahil untuk menyelamatkan negara tersebut yang pada suatu ketika dahulu pernah menguasai sebahagian besar dunia. Nisbah hutang awam Greece ialah sekitar 175 peratus. Bagaimanapun, jika anda berfikir bahawa ini adalah sesuatu yang tidak baik, kedudukan Jepun adalah lebih teruk pada nisbah 228 peratus. Itali berkedudukan nombor lima dengan catatan 134 peratus. Singapura berada di kedudukan nombor 11 (107 peratus). Perancis pula 96 peratus, Kanada (93 peratus), UK (87 peratus), Austria (80 peratus), Jerman (75 peratus), Amerika Syarikat (71 peratus), manakala Malaysia berada di kedudukan bawah dalam senarai iaitu nombor 63 dengan catatan 54 peratus.
Pembangkang terus mengatakan bahawa Malaysia kini menuju ke arah kebankrapan. Namun hakikatnya Malaysia masih menjadi destinasi pelaburan asing. Masalahnya ialah pembangkang hanya mengambil kesempatan mensensasikan atau memperkatakan isu ini tanpa disokong dengan fakta dan statistik.
Sementara kita boleh bersetuju bahawa kita perlu pembangkang, namun ia wajar menjadi pembangkang bertanggungjawab yang tidak mengelirukan orang ramai dan menyebarkan perkara yang tidak benar. Pembangkang Malaysia nampaknya tidak mengambil berat tentang kebenaran tetapi hanya beria-ia menjatuhkan kerajaan meskipun menggunakan maklumat separa tepat.

No comments: