Translate

Thursday, June 11, 2015

MAKSIMUMKAN PENGGUNAAN TANAH DENGAN AKTIVITI EKONOMI: SALLEH

SALLEH (tengah) bersama PPK Kota Belud
KOTA BELUD: Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima dr Salleh Tun Said menasihatkan golongan petani supaya memaksimumkan penggunaan tanah di luar bandar, dengan aktiviti ekonomi.

Beliau berkata ia penting bagi meningkatkan sosioekonomi petani selain memacu pertumbuhan bagi menjayakan matlamat Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

"Jangan biarkan tanah terbiar. Saiz tanah kecil tapi boleh mendatangkan pulangan besar dan lumayan," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-46 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Belud di sini hari ini.

Hadir sama Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tempasuk, Datuk Musbah Jamli.

Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah menegaskan kawasan luar bandar perlu diperkasakan aktiviti ekonomi untuk menjana pembangunan serta mengelak penghijrahan ke bandar.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar PPK memainkan peranan secara proaktif serta menjadi penggerak dan pemangkin pembangunan ekonomi orang kampung.

Katanya, PPK perlu mendokong falsafah dan komitmen Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai tempat PPK bernaung.

"Gembleng tenaga dan usaha secara bersepadu, tumpukan gerak kerja di lapangan untuk pastikan kejayaan Dasar Pertanian Negara (DPN) terutama yang menjurus ke arah peningkatan pengeluaran, berasaskan Amalan Pertanian Baik (GAP)," katanya.

Sambil mengakui pertanian sebagai sektor terpenting ekonomi, beliau berkata langkah pemerkasaan itu seiring perancangan kerajaan menerusi Program Transformasi Pertubuhan Peladang 2012-2020 bagi mengubah wajah, dimensi serta halatuju gerakan peladang keseluruhannya.

Salleh turut menyarankan PPK supaya menggalakkan generasi muda, termasuk kalangan siswazah untuk menceburi bidang pertanian.

"Persepsi bahawa pertanian bidang yang kotor perlu dikikis.Pembabitan golongan muda dan berpendidikan penting demi kejayaan halatuju sektor pertanian negara," katanya.

Beliau berkata kerajaan menerusi pelbagai jabatan dan agensi menyediakan kemudahan, peluang dan insentif kepada golongan berkenaan menceburinya.

No comments: