Translate

Friday, September 18, 2015

PERANAN MEDIA SOSIAL PENTING


Oleh Salleh Said Keruak
 
Penganalisis politik yang mengamati pilihan raya umum Malaysia 2008 membuat kesimpulan bahawa Internet atau sosial media memainkan peranan penting dalam mempengaruhi keputusan pilihan raya umum itu. Malah sekitar masa yang sama Presiden Amerika Syarikat Barack Obama memulakan tugasnya di pejabat presiden dan keseluruhan kempen pengumpulan dananya dilakukan melalui Internet.
 
Sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa Internet bukan sahaja memainkan peranan penting dalam arena politik Malaysia sejak tujuh tahun yang lepas tetapi kini memainkan peranan yang lebih besar. Pepatah "jangan percaya semua yang anda baca di Internet" telah digantikan dengan ungkapan "apa sahaja yang dilaporkan di Internet adalah kebenaran mutlak". Apa yang biasanya dipanggil media alternatif - Internet dan media sosial  sebelum ini - kini dianggap sebagai media arus perdana oleh kebanyakan pembaca.
 
 
Apa yang dianggap sebagai perang Internet atau media di Malaysia telah diberi sentuhan baru dengan penglibatan media dan blog asing. Rakyat Malaysia mempunyai persepsi bahawa apa-apa benda dari luar negara atau diimport semestinya lebih baik daripada yang ada di negara ini Ini bukan hanya merangkumi setakat barangan pengguna  tetapi juga laporan berita.
 
Itu sebabnya terbitan luar negara seperti Sarawak Report dan Wall Street Journal dianggap sebagai benteng kebenaran. Oleh kerana kedua-duanya berpangkalan di luar negara dan dikendalikan oleh pihak barat maka apa yang mereka sajikan dianggap semuanya benar belaka. Tiada siapa yang meragui kebenaran laporan mereka semata-mata kerana berpangkalan di luar negara atau barat.
 
Sebenarnya ia merupakan satu strategi yang sangat bijak oleh pihak tertentu yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk beralih kepada penerbitan asing untuk menjalankan kempen mereka. Jika cerita itu datang dari luar negara maka ia mesti benar kerana warga asing kononnya hanya melibatkan diri dalam kebenaran. Dan inilah sebab mengapa ramai yang percaya  dahulu bahawa Iraq  menghasilkan senjata pemusnah besar-besaran – semata-mata kerana media Barat berkata demikian.
 
Bagaimanapun, sejak itu manusia sejagat mula menyedari bahawa mereka telah ditipu. Cerita-cerita itu hanya berita palsu atau bohong belaka yang bertujuan semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan Iraq dan mendapatkan sokongan dunia kepada Amerika Syarikat bagi melancarkan perang terhadap Iraq. Sejak itu juga ramai yang akan mengetahui bahawa tidak semua apa yang media Barat laporkan mengenai Najib adalah benar belaka. Namun seperti juga kes Iraq, mereka mengetahuinya terkemudian selepas “kerosakan” itu telah dilakukan. 

No comments: