Translate

Sunday, November 22, 2015

BAHASA MALAYSIA BAHASA PENYATUAN RAKYAT DI SABAH


Oleh Salleh Said Keruak

BAHASA Malaysia telah lama bertapak di Sabah. Menjadi bahasa komunikasi rakyat. Bahasa penyatuan pelbagai kaum. Ia bertambah kukuh selepas era penjajahan Inggeris.

Selepas mencapai kemerdekaan, Perdan Menteri pertama Tunku Abdul Rahman memperkenalkan istilah "Bahasa Malaysia" sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.  Ia kemudian diguna secara meluas.

Pada tahun 1986, istilah "Bahasa Malaysia" diganti menjadi "Bahasa Melayu" berdasarkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Kemudian pada  4 Jun 2007, Kabinet Persekutuan membuat keputusan untuk menggantikan penggunaan "Bahasa Melayu" menjadi "Bahasa Malaysia". 

Berikutan itu, Kabinet mengarahkan penggunaan istilah "Bahasa Malaysia" dalam semua urusan surat-menyurat, catatan dan dokumen. 

Di Sabah, bahasa Malaysia menjadi bahasa lingua franca masyarakat majmuk sejak awal kemerdekaan. Usaha memartabatkannya diperkasa secara berterusan. Pelbagai program diatur, termasuk Bulan Bahasa Malaysia.

Hasilnya, pada 7 Mac 1972 Dewan Undangan Negeri Sabah memutuskan agar semua urusan rasmi sama ada lisan atau tulisan dengan kementerian, jabatan, pejabat atau agensi kerajaan, dilaksanakan dalam bahasa Malaysia.

Kemuncaknya, pada 16 September 1973, bahasa Malaysia diisytiharkan sebagai bahasa rasmi oleh Ketua Menteri Sabah ketika itu Tun Datu Mustapha Datu Harun.

Empat tahun kemudian, iaitu pada 1 Januari 1977, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)cawangan Sabah diwujudkan, yang menjadi pemangkin kepada pemerkasaan Bahasa Malaysia di Sabah.

Dari segi dasarnya, Sabah berada di jalan yang betul dalam memartabatkan Bahasa Malaysia tanpa meminggirkan prinsip memperkukuhkan bahasa Inggeris, seperti termaktub dalam dasar kerajaan Malaysia.

No comments: