Translate

Friday, November 13, 2015

GUNTING DALAM LIPATAN BAWA KEHANCURAN


Oleh Salleh Said Keruak

DALAM tulisan pada 24 Oktober lepas, saya sentuh mengenai pepatah `gunting dalam lipatan'.  Kali ini, saya ingin huraikan sedikit maksudnya.

Tafsiran jelas istilah gunting dalam lipatan ini bermaksud elemen yang membinasakan. Seperti juga dengan pepatah `musang berbulu ayam' yang membawa maksud sama. Ungkapan lain yang seerti termasuk `depan manis, belakang pahit'. 

Pendek kata, bersikap hipokrit. Berpura-pura kelihatan baik, tapi ada niat dan agenda tersembunyi.

Memang orang-orang seperti ini ada di sekeliling kita. Cuma mungkin tidak kelihatan secara ketara kerana pandai `bermain wayang'. Tapi siapa yang makan lada, dia akan terasa pedasnya.

Namun perlu diingat bahawa mengkritik dan berbeza pendapat bukan bererti gunting dalam lipatan. Kritikan membina biasanya dibuat secara berterus-terang dan beradab. Begitu juga jika berbahas, ada caranya.

Kritikan yang bersopan dan perbahasan pendapat yang berbeza akan membawa hasil yang baik. Kerana kritikan yang ikhlas dan perbezaan pendapat itu akhirnya membantu memperkuatkan organisasi, bukan sebaliknya.

Setiap orang akan mempunyai perbezaan pendapat. Bergantung dari sudut mana ia melihat sesuatu perkara itu. Kita harus bersetuju untuk berbeza pendapat, tapi kita tidak harus bersetuju untuk membenarkan perbezaan pendapat itu membawa kepada kehancuran.

No comments: