Translate

Thursday, January 28, 2016

Pengagihan semula dan bidaan spektrum dalam perancangan, kata Salleh


Putrajaya, Khamis, 28 Januari: 

"Seruan kerajaan untuk mengoptimumkan sumber spektrum adalah bagi mencapai wawasan untuk menyediakan perkhidmatan komunikasi yang meluas untuk semua pengguna, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman,” kata Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Menurut Dr Salleh, dalam bidang komunikasi dan multimedia, Kerajaan komited untuk mencapai sasaran negara bagi tahun 2020 dan seterusnya. Pada dasarnya, ini akan dilakukan melalui satu usaha pengagihan semula dan bidaan spektrum yang melibatkan pengusaha-pengusaha utama industri. Dengan yang demikian, Kerajaan akan memastikan agar kepentingan pengguna, industri dan pelabur diambil kira.

Menurut YB Menteri, sumber-sumber spektrum akan diagihkan semula kepada pengusaha-pengusaha utama untuk mengekalkan tahap persaingan yang mencukupi serta daya tahan dalam pasaran perkhidmatan mudah alih. Pengagihan semula melalui pendekatan berasaskan pasaran juga akan menyumbangkan hasil kepada Kerajaan.

YB Menteri berkata, "Sebab-sebab utama untuk pengagihan semula adalah untuk memastikan penggunaan spektrum dengan efisyen, merangsang pembangunan industri mudah alih, dan memberi tumpuan kepada pelaksanaan perkhidmatan dan kepentingan pengguna."

Spektrum yang mencukupi untuk menampung liputan serta kapasiti akan memberi kedudukan yang lebih baik kepada pengusaha-pengusaha utama pada masa akan datang untuk melancarkan perkhidmatan 4G, bagi kawasan bandar dan luar bandar.

"Ini penting bagi memastikan Malaysia akan terus berdaya saing sebagai sebuah negara," kata YB Menteri.

No comments: