Translate

Monday, June 23, 2008

DULU RAMAI OKB, KINI BERTAMBAH OMB


SEMENTARA menunggu penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur baru-baru ini, saya membaca majalah “The Economist” keluaran terbaru dengan laporan muka depannya bertajuk “Inflation’s back…”

Beberapa tulisan di dalamnya mengupas mengenai kegawatan ekonomi dan inflasi berikutan kenaikan harga makanan, minyak dan keperluan asas lain.

Unjuran dibuat bahawa dunia akan terus berhadapan kemelut ekonomi dalam beberapa tahun akan datang memandangkan kuasa-kuasa ekonomi dunia terus dicengkam oleh tekanan akibat peningkatan harga minyak di pasaran global.

Penganalisis ekonomi turut menyatakan kebimbangan terhadap ketidaktentuan yang berlaku kerana ia turut mempengaruhi sosiopolitik, malah boleh merubah keadaan sesebuah negara atau kelompok masyarakat.

Selepas membaca beberapa halaman pada majalah itu, saya teringat lagi satu rencana yang pernah saya baca, yang memetik laporan Bank Dunia, yang menarik perhatian mengenai kenaikan harga makanan yang dijangka menyebabkan 100 juta penduduk dunia jatuh dalam kategori kemiskinan melarat.

Paling merisaukan apabila dikatakan bahawa kenaikan harga makanan yang dialami sekarang akan menjadi satu fenomena sehingga tahun 2015.

Satu lagi laporan Bank Dunia turut menganggarkan terdapat 36 buah negara berhadapan dengan kemungkinan menghadapi masalah berikutan kemelut bahan makanan yang sukar diperoleh dan mahal harganya.

Sebagai orang politik, saya juga melihat perkembangan ekonomi dunia mutakhir ini sebagai suatu yang mencemaskan jika tiada perancangan strategik jangka panjang diikhtiarkan.

Ini kerana politik dan ekonomi sentiasa berkait rapat. Isu ekonomi sememangnya tidak dapat dipisahkan dari dalam diri kita. Suka atau tidak, ekonomi mempengaruhi sosiopolitik dan demikian juga sebaliknya.

Kadar kenaikan harga yang tidak terkawal boleh memburukkan lagi kadar inflasi dan jika tidak dikawal, ia mampu melumpuhkan ekonomi sesebuah negara.

Ekonomi yang lumpuh pula akan membawa kepada permasalahan sosial yang serius dan akhirnya boleh menggugat kestabilan politik dan kerajaan.

Peningkatan kadar inflasi bermakna peningkatan kos sara hidup rakyat dan ini secara logiknya akan menyebabkan taraf hidup mereka menurun.

Saya masih teringat dahulu, ketika ekonomi berkembang dan peluang perniagaan terbuka luas pada era kegemilangan sebelum kegawatan 1997/98, ramai menjadi OKB (orang kaya baru) dengan kereta baru, pakaian berjenama, makan di restoran mewah dan bermacam-macam lagi.
Sekarang ini apabila harga minyak melonjak tinggi dan harga barang makanan serta keperluan lain pun naik, maka akan lebih ramai menjadi OMB (orang miskin baru).

Antara faktor penyebab berlakunya inflasi didorong oleh kenaikan harga barang makanan di pasaran dunia, harga komoditi dan kenaikan kos bahan bakar yang mempunyai implikasi meluas ke atas ekonomi dan kehidupan penduduk dunia.

Isu kenaikan harga makanan yang kini melanda negara-negara seluruh dunia telah diistilahkan oleh beberapa ahli ekonomi sebagai “agroflation” kerana ia berpunca daripada kekurangan bekalan bahan makanan berasaskan pertanian seperti beras, jagung, gandum dan sebagainya.

Bagi mengimbangi kesukaran yang dialami ini, rakyat tidak ada pilihan kecuali membuat penyesuaian gaya hidup dan mengurus kewangan dengan baik dan berdisiplin.

Sebenarnya di negara ini, kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk menangani isu kenaikan harga makanan dan barangan. Malah sebuah jawatankuasa dikenali sebagai Jawatankuasa Menangani Inflasi yang menyediakan peruntukan sebanyak RM4 bilion menerusi Dasar Jaminan Bekalan Makanan, sudah pun ditubuhkan.

Malah, awal-awal lagi kerajaan memperuntukkan RM6.9 juta di bawah sektor agro makanan yang mewujudkan beberapa projek mega pertanian seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Zon Industri Akuakultur, Ladang Kontrak, Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani dan Pusat Fidlot Nasional, menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang dilancarkan pada 2006.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani baru-baru ini pula mengenal pasti tujuh langkah pelaksanaan bagi peruntukan yang baru diluluskan itu, iaitu meningkatkan pengeluaran beras, pengwujudan stok penimbal beras, pemberian insentif kepada pengusaha pertanian dan mewujudkan program peningkatan pengeluaran dan produktiviti bagi sektor tanaman, ternakan dan perikanan.

Terbaru pada 13 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan Pelan Peningkatan Pengeluaran Beras Negara yang merupakan salah satu daripada komponen penting Dasar Jaminan Bekalan Makanan.

Pelan berkenaan antara lain bertujuan meningkatkan dan menjamin bekalan beras negara akan mencapai tahap 86 peratus tahap sara diri menjelang 2010 dan seterusnya kepada tahap 100 peratus.

Dengan peruntukan RM802.84 juta bagi tahun ini, program itu akan mula diterjemahkan melalui pelan jangka pendek dan panjang termasuklah menambah hasil padi di kawasan jelapang serta di luar jelapang.

Kini, untuk memastikan tidak ramai OMB di negara kita, setiap rakyat tidak boleh terus berpeluk tubuh. Usahakanlah tanah yang ada dan berniagalah secara kecil-kecilan jika ada peluang, demi untuk menambahkan pendapatan.

No comments: