Translate

Thursday, September 4, 2008

PERMATANG PAUH: FAHAMI MESEJ PENGUNDI

SAYA berada di Permatang Pauh dua hari sebelum pengundian pilihan raya kecil Parlimen kawasan itu pada 26 Ogos lepas.

Ketika itu,saya sudah melihat dengan jelas mood pengundi yang memihak kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Saya perhatikan suasana kempen dikuasai oleh PKR.

Biarpun Barisan Nasional (BN) telah memberi penjelasan mengenai pelbagai isu sejak penamaan calon, namun pengundi Permatang Pauh pada umumnya tetap tidak berubah pendirian mereka.

Di mana-mana tempat sekitar Permatang Pauh yang saya kunjungi, sentimen rakyat nyata mahu memberi kemenangan kepada calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nyata sekali, apabila keputusan diumumkan, Datuk Seri Anwar mencapai kemenangan lebih besar pada pilihan raya kecil itu, dengan majoriti 15,671 undi.

Datuk Seri Anwar yang juga Penasihat PKR nemperoleh 31,195 undi, sementara calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah mendapat 15,524 undi dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Mamat 92 undi. Hanafi hilang wang pertaruhan.

Seperti jangkaan saya, reaksi umum pelbagai pihak selepas keputusan itu diketahui juga menyatakan ia bukan sesuatu yang mengejutkan.

Bagi mereka, kemenangan Datuk Seri Anwar di gelanggang sendiri sesuatu yang sudah diduga. Permatang Pauh sudah sinonim dengan PKR, dulunya diwakili isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sejak 1999, dan kini kembali diwakili oleh Datuk Seri Anwar.

Dari keputusan itu, sesuatu yang dapat dirumuskan ialah hakikat bahawa rakyat masih menjadi penentu dalam sistem demokrasi kepartian yang masih subur di negara ini.

Kenyataan pemimpin BN yang menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat itu menunjukkan kepimpinan kita akur terhadap sentimen dan perasaan hati rakyat.

Seperti yang dijelaskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, bahawa BN menghormati keputusan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh yang disifatkannya sebagai mencerminkan amalan demokrasi yang masih segar di negara ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, kemenangan Datuk Seri Anwar membuktikan tiada manipulasi daripada segi perjalanan demokrasi di negara ini.

Keputusan d Permatang Pauh bukan saja membawa Datuk Seri Anwar kembali ke Parlimen, tetapi sebenarnya juga membawa mesej tertentu untuk dihayati bersama.

Di sebalik keputusan itu tersimpan mesej untuk difahami dan ia mesti diberi pertimbangan dalam post-mortem yang dibuat nanti.

Pada tulisan akan datang, saya akan cuba menulis sedikit mengenai prinsip post-mortem politik pula.

No comments: