Translate

Saturday, September 20, 2008

SAPP KELUAR: BN PERLU BERSATU “MENGEMAS RUMAH”

AKHIRNYA Parti Maju Sabah (SAPP) membuat keputusan meninggalkan Barisan Nasional (BN) pada 17 September lepas.

Keputusan diumumkan oleh Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu.

Tindakan itu adalah kemuncak kepada pelbagai kenyataan dan peristiwa politik membabitkan SAPP yang menjadi begitu panas sebulan lalu, apabila ia secara terbuka menyatakan hasrat untuk mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bukan rahsia lagi bahawa SAPP dilihat oleh kebanyakan pihak sebagai bersuara kritikal, terutama dalam hal-hal berkaitan kepentingan rakyat dan negeri Sabah, selepas berakhirnya pilihan raya umum ke-12 pada Mac lalu.

Apapun, SAPP sudah membuat keputusan meninggalkan BN dan ia pastinya memberi kesan kepada BN sebagai sebuah gagasan yang menjadi tunjang kepimpinan di peringkat Pusat dan juga di peringkat negeri Sabah.

Umumnya, reaksi awal pemimpin-pemimpin BN menyatakan bahawa tindakan SAPP itu tidak menjejaskan keutuhan BN. Malahan, mereka menyatakan bahawa tindakan SAPP itu sememangnya sudah dijangka berikutan tindak-tanduknya sejak selepas pilihan raya umum lalu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, dalam reaksinya pula menyatakan rasa kesal dengan tindakan SAPP itu walaupun mengakui keputusan sedemikian sudah dijangkakan.

Ini kerana bagi Datuk Musa, SAPP merupakan rakan yang begitu lama dan penyokong kepada BN selama ini. Sambil itu, beliau turut menyatakan prinsip BN yang sentiasa bekerja sebagai satu pasukan dan jika terdapat sebarang masalah, ia akan diselesai secara muafakat berasaskan semangat setiakawan BN.

Melihat dan menganalisis kenyataan-kenyataan SAPP sebelum ini, parti itu nampaknya seperti merancang mahu dipecat daripada BN tetapi ia tidak menjadi, dan ini menyebabkan ia terpaksa membuat keputusan untuk meninggalkan BN.

Sejauh mana tindakan itu dianggap tepat atau sebaliknya, mengikut perspektif politik tempatan, ia hanya akan dapat dilihat pada pilihan raya yang akan datang.

Ini berdasarkan reaksi sehingga kini, termasuk di peringkat akar-umbi mempunyai pelbagai pandangan yang berbeza. Ada yang menyokong dan memuji tindakan SAPP itu, tetapi tidak kurang juga ada yang mengutuk dan mengkritiknya.

Apapun bagi BN, dengan tindakan SAPP itu, ia perlulah mengambil langkah-langkah susulan “mengemaskan rumah” .Yang penting, BN kena bersatu dan memperkukuhkan jalinan persefahaman dalam berhadapan parti-parti alternatif, khusus yang menggunakan isu Sabahan.

Ini penting kerana tiupan isu sentimen kenegerian begitu mudah mempengaruhi minda kebanyakan rakyat, justeru ia mesti ditangani dengan sebaik-baiknya.

Hal ini mesti diambil kira kerana ada penganalisis politik melihat Datuk Yong sebagai seorang `strategist’ politik yang bijaksana dan telah merancang langkah-langkah yang diambil itu dengan mengambil kira kesan dan impaknya jauh di hadapan.

Datuk Yong dikatakan tidak sekadar melihat apa yang berlaku pada hari ini, tetapi memandang hari esok dan hari-hari seterusnya dengan penuh berhati-hati.

Tindakan SAPP meninggalkan BN merupakan satu lagi sejarah dalam politik negara. Biarpun, kesan peninggalannya tidak seribut sebagaimana keadaan selepas Parti Bersatu Sabah (PBS) meninggalkan BN pada 1990 dahulu, namun ia merupakan sejarah hitam yang ada kesannya yang tersendiri.

Biarpun barangkali SAPP dianggap sebagai parti kecil, dengan hanya dua Ahli Parlimen dan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), namun ia tetap memiliki pengaruh, pengikut dan penyokong tersendiri.

Dua Anggota Parlimen SAPP ialah Datuk Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau), manakala empat Adun pula ialah Datuk Raymond Tan Suh Kiah (Tanjung Papat), Au Kam Wah (Elopura), Datuk Liew Teck Chan (Likas) dan Melanie Chia (Luyang). SAPP yang didaftar pada 21 Jan 1994 diasaskan penubuhannya oleh Datuk Yong selepas beliau melepaskan jawatan daripada PBS ekoran perselisihan faham dengan Presiden parti, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan, pada ketika itu.

Tidak hairanlah jika SAPP begitu sinonim dengan Datuk Yong dan Datuk Yong sinonim dengan SAPP, kerana beliau adalah pelopor, peneraju dan pemimpin itu sejak dahulu sehingga kini.

No comments: