Translate

Thursday, November 27, 2008

SUASANA DAN TREND PEMILIHAN UMNO JADI PERTIMBANGAN MEMBUAT KEPUTUSAN




KEBELAKANGAN ini banyak panggilan telefon dan SMS saya terima, mengucapkan tahniah dan menyatakan “Salam Perjuangan” kerana dicalonkan untuk menduduki kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno pada perhimpunan agung yang dijadualkan Mac tahun depan.

Panggilan telefon dan kiriman SMS itu bukan saja datang dari pemimpin dan ahli Umno seluruh negara, tetapi juga dari rakan-rakan media, para sahabat dan kenalan politik jauh dan dekat.
Reaksi spontan saya hanyalah ucapan terima kasih. Kerana bagi saya, itulah jawapan tepat dan terbaik pada waktu ini.

Bagi saya, banyak pertimbangan perlu dibuat terhadap banyak hal sebelum membuat keputusan terhadap sesuatu perkara. Apatah lagi jika ia membabitkan perjuangan di arena politik yang penuh cabaran dan rintangan ini.

Apapun, saya berasa terharu dengan salam ingatan semua mereka ini. Lebih terharu lagi apabila mengingatkan sokongan serta pencalonan yang dibuat oleh bahagian-bahagian Umno seluruh negara. Rupanya masih ada yang mengingati saya. Rupanya masih ada bahagian menghargai kepimpinan saya. Terasa begitu dekat saya dengan mereka. Begitu akrab dirasakan diri ini bersama rakan-rakan di atas bahtera sebuah perjuangan bernama Umno.

Saya sangat menghargai kata-kata semangat, sokongan dan dorongan yang diberikan. Semuanya menjadi inspirasi, malah akan menjadi pertimbangan dan iktibar pada saya dalam membuat keputusan nanti.

Secara peribadi, saya berpendapat bahawa soal bertanding atau tidak bagi kerusi MT nanti bukanlah perkara pokok. Kerana yang penting ialah perkhidmatan serta sumbangan kita kepada parti yang kita dokong.

Dengan mengambil kira bilangan pemimpin dari Sabah yang dicalonkan untuk pelbagai jawatan dalam Umno pada perhimpunan ini, sudah tentu pertimbangan kita juga menjurus kepada soal kuota negeri di mana sejarah menunjukkan Sabah biasanya hanya mendapat dua atau tiga orang untuk menduduki kerusi MKT.

Dengan pengesahan Menteri Perpaduan Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Mohd Shafie Apdal bertanding jawatan Naib Presiden dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Hj Aman, mempertahankan kerusi Majlis Tertinggi, bermakna telah ada dua calon berada pada hieraki teratas mewakili negeri Sabah.

Selain itu, terdapat lagi beberapa pemimpin dari Sabah turut dicalonkan untuk menduduki kerusi MT bersama-sama dengan saya.

Semua hal ini akan menjadi perkiraan saya apabila tiba masa untuk membuat keputusan muktamad nanti.

Kerana bagi saya, yang penting dipastikan ialah bilangan pemimpin Sabah dipilih sebagai MKT. Bukan soal siapa yang akan dipilih.

Dalam hal ini, saya mengutamakan soal perpaduan dalam perjuangan berparti. Perpaduan kita mesti jitu dan `solid’ menyokong calon-calon kita kerana dengan bersikap demikian, kita akan dihormati dan disegani oleh pemimpin serta ahli akar-umbi.

Pada saya, sumbangan dan perkhidmatan kita kepada parti boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Saya sendiri, setelah dipilih sebagai Ketua Umno Bahagian Kota Belud dan secara automatik menjadi ahli jawatankuasa Badan Perhubungan Umno negeri, sudah tentu boleh memainkan peranan dan sumbangan berkesan kepada parti.

Jawatan sebagai Ketua Bahagian dan AJK Badan Perhubungan Umno negeri, pun adalah satu tanggungjawab yang amat berat untuk dilaksanakan.

Seperti yang saya sebut tadi, saya akan mengkaji suasana dan trend pemilihan keseluruhannya sebelum membuat keputusan muktamad sama ada bertanding atau tidak.

Hakikat mengenai sikap dan kebiasaan perwakilan juga menjadi pertimbangan saya. Lazimnya, perwakilan mengutamakan pemilihan terhadap mereka yang berjawatan dalam kerajaan, menteri atau timbalan menteri atau Ahli Yang berhormat dan sebagainya.

Begitu pun, saya tetap berasa bangga kerana masih ada bahagian dan masih ramai kawan-kawan pemimpin Umno mengenang jasa dan perjuangan saya, sekali pun telah agak lama tidak beraksi di tengah gelanggang politik nasional.

Semua ini akan akan saya hayati dan renungi dalam tempoh beberapa minggu ini.

No comments: