Translate

Monday, March 2, 2009

BAJET MINI BUKTI KOMITMEN KERAJAAN BELA RAKYAT HADAPI KEGAWATAN

TARIKH 10 Mac kini ditunggu-tunggu penuh minat oleh semua orang. Pemimpin politik – sama ada kerajaan mahupun pembangkang, tokoh korporat dan peniaga kecil, pekerja sektor awam dan swasta, serta rakyat biasa di jalanan, menantikan ketibaan tarikh tersebut dengan penuh debaran serta pengharapan. Ini kerana pada tarikh tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan, akan membentangkan pakej rangsangan kedua atau bajet mini, bertujuan mengukuhkan ekonomi negara yang kini menghadapi tempias dari kegawatan ekonomi global.

Semua orang menantikannya dengan penuh debaran kerana ia diharapkan membawa sinar serta harapan baru, dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi yang semakin dirasakan kesannya kini. Pelbagai spekulasi dan bayangan diberikan mengenai intipati bajet mini tersebut, termasuk apa yang dikatakan sebagai berita kejutan buat rakyat. Inilah yang menjadikan rakyat tidak sabar-sabar menantikan kedatangan tarikh berkenaan.

Kenyataan terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menyatakan bahawa jumlah peruntukan dalam bajet mini yang akan diumumkan nanti adalah lebih besar daripada pakej rangsangan sebelum ini.

“Saya tidak boleh menyatakan jumlah pakej tersebut. Tetapi ia lebih besar daripada pakej yang diumumkan pada November lalu. Jadi anda semua perlu tunggu kerana ia akan diumumkan pada 10 Mac ini,’’ kata Perdana Menteri pada sidang akhbar bersama wartawan antarabangsa selepas berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 di Hua Hin, Thailand, baru-baru ini.

Yang pasti, pembentangan bajet mini ini merupakan bukti komitmen serta kesungguhan kerajaan untuk membela nasib rakyat dalam mengharungi kegawatan ekonomi yang melanda seluruh pelosok dunia.

Negara kita tidak terkecuali daripada kesan dan tempias kegawatan itu lantaran sistem ekonomi dan perdagangan terbuka yang diamalkan. Justeru, mahu tidak mahu, kita perlu mengambil sesuatu langkah bagi mengimbangi kesan kegawatan. Dan bajet mini ini merupakan satu daripada pendekatan kerajaan menentukan rakyat tidak terus terbeban.

Khabarnya pakej rangsangan ini merangkumi semua sektor ekonomi dan pelbagai industri serta seluruh segmen masyarakat, baik di bandar mahu pun desa.

Pandangan pakar-pakar ekonomi merumuskan bahawa bajet mini itu bakal mengukuhkan ekonomi negara dan menjadikannya berdaya tahan. Mereka optimis bahawa inisiatif baru Kerajaan Pusat itu memberikan impak besar terhadap pasaran domestik, sekali gus berupaya membawa negara mengharungi pelbagai isu yang melanda pada masa ini.

Ini kerana teras pelaksanaan pakej rangsangan kali ini dikatakan turut mengambil masalah ekonomi bagi tempoh sederhana dan jangka panjang.

Natijahnya, pembentangan bajet mini ini adalah kesinambungan daripada pakej pertama bernilai RM7 bilion yang dibentangkan sebelum ini. Ia merupakan usaha berterusan kerajaan memastikan negara terus berdaya saing dan mampu menghadapi pelbagai cabaran.

Pakej rangsangan pertama dahulu merupakan hasil cadangan Jawatankuasa Majlis Ekonomi Negara. Majlis Ekonomi Negara ditubuhkan oleh kerajaan pada Ogos tahun lalu dengan dipengerusi oleh Perdana Menteri, bagi menggantikan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Majlis Ekonomi Negara antara lain berfungsi sebagai badan penasihat, mengadakan perbincangan setiap bulan, manakala Jawatankuasa Eksekutifnya berbincang setiap minggu untuk membincangkan isu ekonomi semasa, cadangan dasar dan juga tindakan.

Berdasarkan reaksi umum sehingga kini, rata-rata rakyat mengharapkan khabar gembira daripada pakej rangsangan kedua ini. Sudah banyak “clue” dan “hint” diberikan oleh pemimpin tertinggi kerajaan mengenai intipati bajet mini tersebut, namun semuanya masih bersifat spekulasi dan hanya akan bertukar menjadi realiti pada 10 Mac ini.

No comments: