Translate

Friday, March 6, 2009

MENYELAMI TREND PERWAKILAN UMNO MEMBUAT PILIHAN

PENGHUJUNG bulan ini, Umno bakal melalui transformasi kepemimpinan. Peralihan pada peringkat tertinggi sudah disepakati dan direstui ahli-ahli akar-umbi di peringkat cawangan, bahagian dan negeri-negeri

Menerusi persepakatan itu, Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan jawatan itu kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, sempena mesyuarat agung tahunan Umno kali ini.

Serentak dengan proses peralihan kuasa tertinggi itu, ahli-ahli Umno akan turut membuat pilihan barisan kepemimpinan baru, termasuk bagi jawatan Timbalan Presiden,Naib Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) serta pada sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Pemilihan kali ini dilihat begitu penting. Ia menjadi petunjuk masa depan dan penentu halatuju parti dalam menghadapi pelbagai cabaran politik mendatang.

Dalam suasana politik yang penuh dengan bermacam kemungkinan, lebih-lebih lagi ketidaktentuan suasana ekonomi global serta kontroversi dan kemelut yang dicipta oleh pihak-pihak tertentu, sudah pasti proses peralihan kali ini menguji kematangan para perwakilan.

Ada beberapa persoalan yang menarik untuk dianalisa menjelang berlangsungnya mesyuarat agung tahunan Umno pada penghujung bulan ini.

Antaranya ialah bagaimana sikap dan trend perwakilan dalam membuat pilihan mereka nanti?

Adakah mereka mengikut kehendak ahli di peringkat cawangan yang telah memilih mereka menjadi perwakilan ke peringkat bahagian? Atau berdasarkan pencalonan yang dibuat oleh bahagian masing-masing? Mengikut mandat perwakilan yang memilih mereka? Berdasarkan kedudukan dan jawatan seseorang dalam kerajaan atau pengalaman seseorang pemimpin? Mungkin juga mengikut kuota negeri atau menuruti kehendak kepimpinan?

Lebih penting lagi, apakah perwakilan akan membuat pilihan berdasarkan kepada pengaruh wang? Persoalan ini sengaja dilontarkan berikutan sudah ada macam-macam cerita dan cakap-cakap mengenai elemen sedemikian.

Bukan rahsia lagi kini calon-calon yang bertanding pelbagai jawatan dalam parti menjelajah ke seluruh negeri untuk bertemu perwakilan secara peribadi selain daripada pertemuan-pertemuan rasmi yang diaturkan untuk memperkenalkan calon-calon bertanding.

Perwakilan Umno kini memikul tugas dan amanah besar bagi memastikan Umno terus kukuh, relevan dan kekal berpengaruh di persada politik tanah air.

Pilihan barisan kepemimpinan yang bakal dibuat akan mencerminkan keunggulan Umno sebagai parti dominan yang menunjangi pemerintahan negara.
.
Apakah perwakilan mahukan barisan muka baru atau menggandingkan dengan pemimpin lama, segalanya hanya diketahui penghujung bulan ini.

No comments: