Translate

Saturday, March 28, 2009

SUNTIKAN SEMANGAT BARU MENGIRINGI KEPULANGAN PEWAKILAN UMNO



SETELAH lima hari berkampung di PWTC, Kuala Lumpur, perwakilan Umno dari seluruh negara mula berangkat pulang ke kawasan masing-masing dengan membawa harapan baru bagi memulakan perubahan serta transformasi kepada parti.

Perjalanan pulang perwakilan pastinya diiringi dengan kenangan manis ekoran beberapa peristiwa berlaku semasa persidangan kali ini.

Paling ketara dan bersejarah pastinya proses peralihan kepimpinan yang berjalan lancar dan penuh tertib.

Bermula peralihan jawatan Presiden daripada Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, disusuli pula pemilihan jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) selain pada sayap Wanita, Pemuda dan Puteri sebelum itu.

Sejarah juga tercipta pada Sabtu apabila bekas Presiden Umno dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, hadir pada sesi penggulungan perbahasan di Dewan Merdeka, PWTC, biarpun sebelum itu telah menyatakan pendirian tidak akan menghadirinya.

Tambah mengembirakan lagi apabila Dr Mahathir memberi bayangan tentang kesediaannya untuk menyertai Umno dalam tempoh terdekat ini.

Perwakilan telah membuat pilihan sebuah saf kepimpinan yang dianggap oleh Najib sebagai cukup ampuh buat Umno untuk mengharungi cabaran mendatang.

Timbalan Presiden yang baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tiga Naib Presiden baru, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, merupakan gandingan mantap yang diyakini mampu membawa perubahan buat parti.

Berdasarkan perbahasan perwakilan, rata-rata menyifatkan saf kepimpinan yang diterajui Datuk Seri Najib ini sebagai yang terbaik lantaran menggabungkan muka lama dan baru.

Kini terpikul tanggungjawab besar pada bahu setiap pemimpin yang dipilih untuk merealisasikan impian bagi pembaharuan itu sebagai satu realiti.

Harapan begitu tinggi disandarkan oleh perwakilan untuk melihat perubahan dan pembaharuan itu dalam tempoh yang tidak begitu lama. Proses ke arah itu tidak boleh dilambatkan atau diperlahankan, kerana ahli di peringkat akar-umbi memerhati perkembangan dan mengikuti setiap gerak-geri pemimpin yang diharapkan.

Sepanjang berkampung di PWTC, begitu banyak suara harapan kedengaran dari segenap kawasan, yang mahukan suatu anjakan paradigma untuk parti, supaya Umno kekal unggul dan relevan.

Umno perlu berubah segera sebelum hanyut dan terjerumus dalam putaran arus politik yang ganas.

Seperti diakui oleh Datuk Seri Mohd Najib sendiri, bahawa Umno harus berubah kerana, jika tidak, parti akan rebah dalam pilihan raya akan datang.

Melihat kepada nada suara perwakilan dan pimpinan pelbagai peringkat, jelas bahawa Umno kini berada di landasan betul untuk mengharungi proses transformasi.

Keyakinan bagi Umno melakukan perubahan ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan tegas Datuk Seri Najib pada ucapan penggulungannya.

Antara yang ditekannya, sebagai bukti keseriusan Umno untuk melakukan perubahan ialah cadangan bagi meminda perlembagaan parti, bagi menghapuskan sistem kuota, dan menggubal sistem pemilihan parti yang baru sempena dengan perhimpunan agungnya bagi 2009 hujung tahun ini.

Cadangan itu yang diucapkannya dengan penuh bersemangat mendapat tepukan bergemuruh daripada perwakilan dan pemerhati, sekali gus menunjukkan ia sebagai satu suntikan semangat baru paling bermakna buat ahli-ahli Umno.

No comments: