Translate

Wednesday, May 27, 2009

BLOG DAN LAMAN WEB TREND BARU GENERASI SIBER




KETIKA melayari internet subuh kelmarin bagi mengetahui perkembangan mengenai pelbagai isu semasa, saya tertarik membaca laporan mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada semua pelanggan dan pengunjung blognya, www.1Malaysia.com.my bagi menyokong konsep 1Malaysia.

Dalam laporan itu, Perdana Menteri menyatakan usahanya untuk terus menerus mempromosi konsep 1Malaysia, sebagai satu gaya hidup bagi semua rakyat Malaysia dan juga sebagai satu falsafah dalam pentadbiran baru.

“Saya suka untuk membaca respons anda berhubung lapan nilai yang telah saya paparkan bulan lepas dan menggalakkan anda untuk terus melayari www.1Malaysia.com.my untuk berkongsi pandangan dan pendapat ke arah membentuk sebuah negara yang hebat," demikian antara lain kenyataan Perdana Menteri.
Laman web peribadinya itu dilancarkan pada 16 September tahun lepas ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri pada masa itu.

Ia antara lain dijadikan sebagai satu forum untuk semua rakyat Malaysia bertukar-tukar pelbagai pandangan berhubung isu-isu penting yang dihadapi mereka selain untuk mempromosi hasrat bersama terutama mengenai keunikan kepelbagaian di dalam negara.

Secara peribadi, saya juga sering melayari laman web Perdana Menteri itu dari semasa ke semasa.

Melayari internet dengan mengunjungi laman web atau blog sedemikian, akan membolehkan kita mengetahui perkembangan mutakhir mengenai pelbagai hal.

Bagi saya, ia telah menjadi seperti satu “habit” untuk menggunakan internet (sama ada laman web atau blog) bagi mendapatkan pelbagai informasi dan maklumat setiap kali ada ruang kesempatan.

Ini kerana blog dan laman web, sebagai media alternatif, merupakan wadah terkini mendapatkan atau menyalurkan maklumat serta menjadi satu trend bagi kebanyakan orang, termasuklah orang politik seperti saya. Ia trend baru generasi siber.


Dalam era dunia tanpa sempadan kini, kemajuan teknologi internet ini bukan lagi perkara asing atau fenomena baru yang bersifat kemewahan. Tetapi sebenarnya satu keperluan dalam kehidupan seharian.
Internet menjadi sumber maklumat dan pengetahuan selain sebagai saluran perniagaan, pendidikan dan penyelidikan selain hiburan. Ini kerana bermacam-macam maklumat mudah diperolehi, apatah lagi generasi muda hari ini sudah tersemai `budaya Google’ dalam kehidupan harian mereka. Internet adalah saluran penghubung komunikasi ke seluruh dunia. Kalau dahulu kita sukar mendapatkan sesuatu maklumat di negara atau benua lain, tetapi hari ini dengan hanya duduk di hadapan komputer di rumah, kita sudah dapat `belayar’ ke seluruh penjuru dunia yang kita kehendaki.

Di sebalik kebebasan dalam dunia internet, tidak dinafikan adanya segelintir pihak yang menyalahgunakannya untuk kepentingan peribadi bagi menghentam pihak-pihak yang tidak disenangi. Ada yang menulis secara agresif macam-macam hal mengikut hawa nafsu tanpa fakta hanya semata-mata mencari kepuasan diri, melagakan antara individu atau mungkin ada agenda tersendiri.

Sikap sedemikian sebenarnya tidak sihat dalam konteks negara kita.

Kebimbangan sedemikian jugalah sebenarnya yang disuarakan oleh Perdana Menteri, dalam laporan terbarunya itu, mengenai sesetengah pihak yang mahu melaga-lagakan hubungan antara kaum di Malaysia untuk kepentingan politik dan peribadi.

No comments: