Translate

Wednesday, May 13, 2009

MENCARI PENDEKATAN HOLISTIK MENANGANI GEJALA MAT REMPIT











SIARAN Buletin Utama TV3 malam tadi turut memuatkan laporan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan supaya gejala mat rempit yang semakin membimbangkan ditangani segera sebelum ia menjadi `wabak" yang mengundang pelbagai masalah lain dalam masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri antara lain menyatakan bahawa satu pendekatan jangka panjang yang holistik perlu dirangka bagi mengawal gejala ini melalui penglibatan pelbagai pihak termasuk anggota masyarakat.

‘‘Kita perlu melihatnya secara holistik sama ada ia berkaitan dengan soal pendidikan atau di luar pendidikan seperti yang dipertanggungjawabkan kepada masyarakat, ibu bapa, keluarga serta agensi berkaitan dalam membangunkan belia," itulah antara petikan kenyataan beliau dalam sidang akhbar selepas melawat Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Kementerian Pelajaran di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Secara peribadi, saya tertarik dan terpanggil untuk berkongsi pandangan mengenai hal ini kerana isu mat rempit ini telah menjadi isu nasional berikutan banyak kes jenayah dilaporkan media kebelakangan ini, termasuk dua kes ragut beg wanita di Kelantan dan Johor yang akhirnya meragut nyawa kedua-dua mangsa.

Dalam kedua-dua kes ragut itu, jenayah berkenaan dilakukan oleh penunggang motosikal yang sinonim dikaitkan dengan mat rempit.

Saya sependapat dengan Timbalan Perdana Menteri bahawa suatu pendekatan jangka panjang perlu dicari untuk menyelesaikan gejala berkenaan, termasuk mengkaji apakah faktor yang membawa kepada kecenderungan kegiatan antisosial oleh golongan remaja ini.
Pendekatan holistik dan proaktif mesti dicari untuk melihat bagaimana ia boleh dikawal sebelum keadaan bertambah parah dalam masyarakat, mengancam nyawa dan keselamatan orang ramai terutama pengguna jalan raya, sehingga menjadi beban pula kepada kerajaan.

Gejala ini menuntut pengemblengan usaha bersepadu semua pihak bagi menyelesaikannya, bukan diletakkan pada bahu pihak berkuasa semata-mata. Anggota masyarakat keseluruhannya, ibu bapa dan agensi penguatkuasa memikul tanggungjawab yang sama penting.

Rata-rata mereka yang terbabit dalam kegiatan merempit ini adalah golongan remaja. Mereka adalah modal insan yang merupakan aset penting negara di masa hadapan. Jika mereka tidak dibimbing halatuju dan ditentukan masa depan, mereka bukan saja menjadi anggota masyarkat yang tidak berguna, tetapi juga akan menjadi beban kepada kerajaan akhirnya nanti.

Menyedari hakikat ini, generasi muda ini perlu dipimpin ke jalan yang benar supaya menjadi insan yang boleh diharap mewarisi kepimpinan pada masa depan.

Suatu kajian terperinci perlu dibuat terlebih dahulu untuk melihat latarbelakang mereka kerana hanya setelah mengetahuinya, barulah mudah dicari tindakan penyelesaian yang berkesan. Kajian latarbelakang sewajarnya merangkumi latarbelakang keluarga, kerana laporan-laporan media menyatakan bahawa ramai yang terbabit dalam gejala mat rempit ini adalah penganggur dan tidak mendapat pekerjaan, terdiri daripada anak-anak keluarga kurang berkemampuan, terkandas dalam pelajaran dan kurang pendidikan agama. Mereka merempit sebagai satu cara melepaskan kekecewaan, keresahan dan kegelisahan, selain untuk mencari keseronokan.

Dari sudut perundangan, hukuman merupakan "pengajaran" terbaik untuk menanganinya. Hukuman yang berat terhadap pesalah boleh menakutkan mereka yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti sedemikian, malah mungkin boleh menginsafkan mereka yang telah terjebak. Peranan media untuk mengetengahkan cerita hukuman terhadap mat rempit sangat penting kerana ia boleh mempengaruhi jiwa dan pemikiran golongan terbabit.

Pada masa ini, pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan operasi bersepadu secara berterusan menangani gejala mat rempit ini. Sehingga kini, operasi berkenaan telah membawa banyak tangkapan, termasuk sebahagiannya telah pun diheret ke mahkamah.

Kita juga perlu melihat gejala ini secara mikro kerana di situ mungkin boleh ditemui titik penyelesaian jangka panjang. Pendidikan formal dan agama adalah dua aspek yang boleh menentukan masa depan seseorang. Justeru barangkali usaha boleh digerakkan untuk membawa mereka kembali ke landasan kehidupan sebenar, mengajak mereka terbabit dalam persatuan yang boleh menjalankan pelbagai aktiviti bermanfaat.

Langkah penyelesaian jangka panjang mesti bermula di peringkat sekolah, sama ada di bandar mahupun di kampung. Pendidikan awal yang positif harus disemai dalam jiwa setiap anak muda.

Justeru, bertepatan sekali jika Kementerian Belia dan Sukan dapat mengembleng usaha untuk memberi perhatian khusus kepada belia, termasuk di kawasan luar bandar dan di kawasan golongan miskin di bandar, dengan mempergiatkan pelbagai aktiviti belia melalui badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengelak sikap diskriminasi terhadap remaja.

Mungkin banyak lagi cara dan kaedah menangani gejala mat rempit ini. Sama-sama kita fikirkan.

No comments: