Translate

Monday, June 22, 2009

MANTAPKAN ORGANISASI SEBAGAI SATU PASUKAN KUAT: SALLEH



KINARUT: Pergerakan Pemuda UMNO Sabah perlu menjadikan parti UMNO kuat dan dipercayai rakyat terutama generasi muda, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Salleh Tun Said.


Beliau berkata dalam sesebuah organisasi hanya ada satu pemimpin yang boleh mentabir dan memimpin dan bukan dua pemimpin untuk menjadi satu pasukan yang kuat.

"Dalam satu organisasi mesti ada pemimpin yang berkaliber untuk memperjuangkan parti UMNO dan menentukan ogranisasi ini akan terus kukuh dan mantap. Inilah tugas utama Pemuda UMNO," tegas Salleh.

Justeru itu, Pemuda UMNO perlu ada kebolehan untuk memimpin pergerakan Pemuda, bukan sahaja di negeri tetapi juga di peringkat bahagian seterusnya di akar umbi agar ahli-ahli UMNO dan rakyat masih mempercayai kepimpinan UMNO demi mendapatkan sokongan rakyat.

"Pemuda Sabah mesti bersemangat baru, cara pemikiran baru, ilmu yang baru dan paling utama harus berani menghadapi cabaran baru. Sekiranya kita masih di takuk lama, minda kita tidak boleh menerima perubahan maka tiada erti perjuangan itu '' ujar beliau.

Beliau berkata demikian semasa majlis penutupan Bengkel Pemuda UMNO Sabah di Borneo Paradise Beach Hotel, Kinarut kelmarin.

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO bahagian Papar, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, Naib Ketua Pemuda, Haji Awang Kadin Tang, wakil kepada Ketua UMNO bahagian Papar, Amri Abu Bakar serta ketua-ketua Pemuda UMNO bahagian.

Menurut Salleh yang juga Ketua UMNO bahagian Kota Belud meminta semua kepimpinan Pemuda mempunyai perjuangan dan pegangan dalam parti.

"Perjuangan itu pokok utama dan akur kepada pucuk kepimpinan kita dan bantu pemimpin atasan kita. Pemuda UMNO perlu memainkan peranan penting dalam menjadikan negeri Sabah sebagai ‘fixed deposit’ selama-lamanya," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Sabah, Azman Ruslan berkata Pemuda UMNO akan menjadikan slogan ‘Rakan Pembela Rakyat’ diperluaskan seluruh bahagian Pemuda UMNO dan juga di perinvkat akar umbi.

Beliau berkata slogan itu akan ‘dipasarkan’ kepada Ketua-ketua Pemuda UMNO bahagian agar ahli-ahli Pemuda UMNO dapat menerapkan konsep atau slogan ini untuk mendekati generasi muda.

Jelasnya, Pemuda UMNO mesti dilihat sebagai pemimpin muda yang mempunyai peranan besar dan bersedia untuk bersama-sama dengan pemimpin atasan untuk membela rakyat.

"Slogan Rakan Pembela Rakyat secara tidak langsung dapat mendekati semua generasi muda dan ini perlu kerana ada ramai generasi muda tidak kira mereka ahli UMNO, belia, pengundi muda atau pengundi atas pagar perlu di dekati.

"Rakan Pembela Rakyat telah diadaptasi daripada Pemuda UMNO Papar, di mana rakan pembela rakyat dapat mendekati belia-belia dan ahli-ahli UMNO apabila Pemuda Papar menganjurkan pelbagai program di peringkat kampung di Papar," ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Keningau.

No comments: