Translate

Tuesday, June 30, 2009

MENCARI JALAN KELUAR BEBAN PENJAWAT AWAM


AKHBAR arus perdana dan tempatan, laman web dan blog melaporkan kenyataan mengenai nasib kakitangan awam yang menerima gaji tidak sampai separuh daripada jumlah gaji setiap bulan, gara-gara potongan pelbagai pinjaman yang dibuat.


Masalah berlaku disebabkan oleh peningkatan kos sara hidup, terutama di kawasan bandar yang tidak pula seiring dengan kenaikan gaji penjawat awam.

Dalam laporan itu, Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, dilaporkan berkata bahawa kira-kira 450,000 orang daripada 1.2 juta petugas awam menghadapi masalah hutang dan golongan berkenaan perlu diberi perhatian khas kerana mereka mudah terjerumus dalam gejala rasuah.

Justeru, beliau berharap ketua-ketua mereka di jabatan atau kementerian mengambil sikap berperikemanusiaan dalam mengendalikan masalah mengenai kumpulan ini, yang rata-ratanya membawa pulang hanya 40 peratus daripada gaji mereka.


"Kebanyakan gaji mereka dipotong untuk pelbagai pinjaman seperti perumahan dan kenderaan atau mengubah suai rumah," katanya.


Biarpun ramai penjawat awam diberi kelonggaran oleh kerajaan untuk membuat kerja sambilan seperti membawa teksi, menjadi agen jualan langsung dan berniaga untuk menampung pendapatan, namun semua itu masih tidak mencukupi.


Berita tersebut yang turut menghiasi laporan akhbar tempatan di Sabah harus menjadi iktibar dan membuka mata semua pihak. Ada mesej yang harus diperhalusi di sebalik kenyataan itu. Ada iltizam yang mesti dipelajari sebelum keadaan menjadi bertambah terok.


Secara peribadi, saya melihat gejala ini disebabkan oleh beberapa faktor dalaman dan luaran, baik di sebelah pihak berkuasa mahupun kalangan penjawat awam itu sendiri.


Apa yang disebutkan oleh Cuepacs sebagai punca itu adalah faktor-faktor luaran saja, misalnya potongan pinjaman perumahan dan kenderaan di mana ia merupakan suatu keperluan asas bagi setiap penjawat awam, tidak kira di peringkat mana pun.


Mendapatkan pinjaman untuk membeli rumah adalah sesuatu yang lebih bijak dan menguntungkan, begitu juga membeli kenderaan bagi kegunaan ke pejabat dan menghantar anak-anak ke sekolah merupakan sesuatu yang lebih memudahkan berbanding tidak memiliki kenderaan sendiri.


Dalam hal ini, barangkali ada mekanisme perlu diikhtiarkan oleh agensi berkaitan termasuk institusi kewangan bagi meringankan bebanan penjawat awam terbabit, misalnya dari segi rebat dan subsidi, kadar faedah dan tempoh pembayaran.


Hal ini harus dibuat pertimbangan dengan mengambil kira peningkatan kos sara hidup di bandar yang semakin tinggi.


Selain faktor luaran, faktor dalaman juga penting untuk dilihat secara mikro -- soal kemampuan, pengaruh persekitaran dan gaya hidup era masakini. Di sinilah letaknya kekuatan "iman" dan jatidiri seseorang untuk memastikan ia tidak terperangkap dalam beban hutang


Saya katakan demikian kerana sudah menjadi kebiasaan dalam hati nurani setiap insan keinginan untuk menikmati kehidupan yang terbaik, lalu berlakulah fenomena perbandingan dan persaingan. Ternampak jiran membeli kereta baru, terdetiklah juga di hati untuk memiliki kereta baru; terlihat orang sebelah membuat "renovation" rumah maka kita pun mengikut mereka; terdengar mereka membeli TV plasma, maka kita pun menukar televisyen yang ada -- sedangkan jika dianalisis kadar pendapatan, semuanya di luar kemampuan untuk memilikinya.


Apabila tuntutan keinginan "hati nurani" ini tidak dapat disekat, kita pun mencari jalan baru, misalnya mendapatkan pinjaman dari bank, mencari "ah long" atau menggunakan kad kredit.


Di penghujung bulan, setelah dikira-kira jumlah potongan pinjaman dan bayaran balik kad kredit, jumlah gaji bersih yang diterima jauh lebih rendah daripada sepatutnya (sedangkan ia sepatutnya diguna sebagai perbelanjaan harian menampung keperluan keluarga).


Keadaan menjadi lebih terok lagi bagi penghuni di bandar yang kos sara hidupnya jauh lebih tinggi berbanding di luar bandar.


Di dalam keadaan kritikal sedemikianlah, seseorang penjawat awam mudah terjerumus dalam kancah rasuah ketika menjalankan tugasnya, sebagaimana disebutkan oleh Setiausaha Agung Cuepacs itu.


Satu hal yang juga perlu dilihat ialah soal gaji kakitangan awam yang dikatakan tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup. Perbandingan boleh dibuat mengenai perbelanjaan 30 tahun lepas, 20 tahun lepas dan lima tahun lepas, misalnya belanja persekolahan anak-anak. Kemudian bandingkan dengan kadar kenaikan gaji kakitangan awam dalam tempoh yang sama.

No comments: