Translate

Thursday, February 28, 2013

RAKYAT SABAH MAHU NAJIB KEKAL SEBAGAI PERDANA MENTERI: SALLEH SAID KERUAK

SINGAPURA, 28 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak, arkitek pelbagai program transformasi kerajaan dan konsep 1Malaysia, adalah pilihan rakyat Sabah untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak, sambil mengulangi bahawa "tidak akan berlaku tsunami politik yang akan melanda Sabah dalam pilihan raya umum ke-13".

Beliau berkata ini terbukti daripada sokongan kuat di peringkat akar umbi dengan kehadiran sejumlah besar yang hadir bagi menyambut Najib semasa lawatannya ke Sabah baru-baru ini bagi menarik sokongan menjelang pilihan raya umum yang digelar "ibu segala pertempuran".

Salleh berkata ia adalah konsisten dengan hasil kaji selidik Merdeka Centre baru-baru ini dengan meletakkan pemeringkatan populariti Najib pada tahap yang selesa iaitu lebih daripada 70 peratus.

SABAH BERI SUMBANGAN RM100,000


PERMATA NEGARA: Ketua Menteri Datuk Seri Pangllima Musa Haji Aman ditemani isteri, Datin Seri Faridah Tussin menghadiri program Permata Negara di bawah naungan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Istana Budaya malam Selasa. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut hadir di majlis itu. Pada majlis itu, Musa yang mewakili kerajaan Sabah menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada tabung program berkenaan. Kelihatan Musa (tiga kanan, baris tengah) bersama Najib (empat kanan) dan Rosmah (dua kiri) sempena program itu. - Gambar Jabatan Ketua Menteri.

Saturday, February 16, 2013

USBO TERIMA KEAHLIAN BARU

Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (Usbo) kelmarin menerima 200 borang keahlian dari kalangan siswazah untuk menyertai pertubuhan berkenaan. Ia diserahkan oleh wakil mereka, Asmarah Rikun kepada Presiden Usbo, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said di Kota Kinabalu selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Usbo.

Turut hadir, Timbalan Presiden Tiga, Chendramata Haji Sinteh dan Setiausaha Agung, Datuk Haji Salsidu Haji Ibrahim. Dalam ucapan ringkasnya, Salleh mengalu-alukan mana-mana individu untuk menyertai pertubuhan itu dalam usaha membina kekuatan masyarakat.

BIRUKAN BUMI PAPAR, SOKONG BN: PM

PAPAR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan masyarakat di daerah ini agar terus memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) dan memastikan bumi Papar dibirukan. 

Katanya, jika rakyat sokong kerajaan BN pelbagai produk akan diteruskan dan ia termasuklah Bantuan Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan Bantuan Persekolahan 1Malaysia. 

Beliau berkata, pembangkang hanya menjanjikan bulan dan bintang, janji syurga dan janjikan pelbagai jawatan tetapi beliau (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah termakan janji. 

PM MESYUARAT DENGAN UMNO SABAH


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (dua dari kanan) mengadakan mesyuarat bersama para pemimpin Umno Sabah di Bangunan Umno Sabah di Karamunsing, Kota Kinabalu sejurus tiba dari Kuala Lumpur petang Rabu lalu. Turut hadir Ketua Menteri yang juga Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman (tiga dari kanan), Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tiga dari kiri), Timbalan Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said (kanan) dan Setiausaha Umno Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin (empat dari kanan).


Monday, February 11, 2013

Najib Mahu Umat Islam Terus Bersatu Kukuhkan Perpaduan

Datuk Seri Najib Tun Razak
GEORGE TOWN, 11 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan umat Islam di negara ini perlu bersatu bagi mengukuhkan perpaduan negara demi masa depan yang lebih harmoni.

Mengambil contoh pergolakan di Gaza antara puak Hamas dan Fatah, Najib berkata perpaduan adalah tonggak kepada pengukuhan sebuah kerajaan yang berdaulat dan disegani.

"Saya baru balik dari lawatan di bumi Gaza, dan terus terang saya beritahu kepada pemimpin Hamas dan Fatah bahawa mereka perlu bersatu demi mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan kukuh.

"Perpaduan merupakan prinsip yang penting kepada mereka, penting juga bagi kita khususnya umat Islam untuk bersatu. Sekiranya kita tidak bersatu maka buruklah padahnya," katanya ketika berucap di majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran Liga Muslim di Masjid Kapitan Keling di sini Ahad malam.

Yang turut hadir ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman dan barisan kepimpinan Umno.

Perdana menteri berkata dalam usaha memperoleh kekayaan serta mengembangkan ekonomi negara, kerajaan tidak pernah mengabaikan prinsip keadilan nasional yang menjadi dasar perpaduan negara sejak sekian lama.

"Dalam usaha memperoleh kekayaan dan pertumbuhan ekonomi negara, tidak dinafikan sumbangan besar yang dimainkan oleh masyarakat India Muslim menerusi aktiviti perniagaan masing-masing.

"Masyarakat India Muslim banyak membuka perniagaan seperti kedai runcit, kedai makanan, kedai pengurup wang dan sebagainya. Daripada perniagaan ini mereka mendapat keuntungan yang besar dan ramai juga antara mereka yang merupakan pembayar cukai," katanya.

Beliau berkata masyarakat India Muslim banyak memberi kekayaan dan kejayaan kepada ekonomi Malaysia.

Najib juga melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sumbangan RM2 juta daripada Liga Muslim kepada Yayasan Rakyat 1Malaysia, yang akan diagihkan untuk kegunaan badan bukan kerajaan (NGO) dan madrasah seluruh negara.

"Wang sumbangan itu akan diagih-agihkan kepada NGO dan madrasah dalam sedikit masa lagi, terima kasih atas sokongan padu daripada masyarakat India Muslim," katanya.

-- BERNAMA