Translate

Saturday, June 29, 2013

SYARULNIZAM DIPILIH SETIAUSAHA BARU SLA

KOTA KINABALU: Syarulnizam Salleh telah dipilih sebagai setiausaha baru Persatuan Undang-Undang Sabah (SLA).
Syarulnizam, 25, yang juga pengerusi Jawatankuasa Kecil Hak Asasi Manusia SLA mendapat 186 undi untuk menewaskan penyandang Roger Chin yang mendapat 121 undi semasa mesyuarat agung tahunan SLA di Hotel Le Meridien petang Khamis lalu.
Presiden SLA, Datuk GBB Nandy @Gaanesh dan Naib Presiden, Catherine Chau mengekalkan jawatan masing-masing.
Gaanesh mendapat 185 undi menakala pencabarnya Jeyan Marimuthu mendapat 122 undi. Catherine pula mendapat 174 undi untuk menewaskan Gabriel Ho yang mendapat 42 undi.

Wednesday, June 19, 2013

DUN SABAH TERIMA MAKLUM PELANTIKAN LAJIM KETUA PEMBANGKANG SABAH


KOTA KINABALU, 19 Jun (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menerima maklum pelantikan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias Datuk Seri Lajim Ukin sebagai ketua pembangkang.
    Speaker DUN Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said berkata pihaknya tiada halangan terhadap pemilihan Lajim yang dibuat berdasarkan amalan konvensional.
    "Pada ketika ini, dewan menyerahkan kepada mereka (pembangkang) kerana dewan tidak ada hak melantik dan bukan tanggungjawab kita untuk menentukan siapa ketua pembangkang.
    "Kita mengambil kira sokongan majoriti pembangkang...kita take note tetapi bukan tanggungjawab kita menentukan pelantikan ketua pembangkang di DUN," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Mohammad Mentek di pejabatnya di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.
    Salleh berkata pihak dewan telah menerima surat dari Lajim berhubung cadangan menjadi ketua pembangkang pada 11 Jun lepas.
    Surat itu turut ditandatangani lima Adun termasuk dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pengerusi Parti Reformasi Sabah (Star) Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan beserta surat dari ibu pejabat PKR yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.
    Sementara itu, Lajim, dalam sidang akhbar berasingan, berterima kasih atas perhatian Speaker terhadap pelantikan beliau itu. 
    Beliau turut menafikan tiada kesepakatan di kalangan wakil rakyat pembangkang termasuk DAP, sebaliknya pelantikan itu mendapat persetujuan kesemua yang berkenaan. 
    Pada pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lepas, BN mengekalkan pemerintahan Sabah dengan majoriti dua pertiga apabila menguasai 48 daripada 60 kerusi DUN.
    Persidangan DUN kali ini menyaksikan 12 wakil pembangkang daripada DAP, PKR dan Star.

KERAJAAN RANCANG TEMPATKAN SEMULA PERKAMPUNGAN AIR DI SEMPORNA, LAHAD DATU, SANDAKAN


KOTA KINABALU, 19 Jun (Bernama) -- Kerajaan merancang untuk menempatkan semula perkampungan air khususnya di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sebagai sebahagian daripada usaha untuk memantapkan lagi aspek keselamatan di kawasan itu.
    Ketua Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek berkata tiga daerah iaitu Semporna, Lahad Datu dan Sandakan dikenal pasti sebagai projek perintis untuk tujuan itu.
    Beliau berkata projek itu, bagaimanapun, masih di peringkat perancangan kerana banyak faktor perlu diambil kira sebelum melaksanakannya.
    "Kita akan tengok dua kemungkinan untuk menjayakan penempatan semula kampung air ini iaitu menempatkan semula perkampungan air semua sekali atau mengekalkan perkampungan air dengan lebih tersusun, maknanya khusus untuk warganegara kita.
    "Dalam hal ini, kita juga akan memastikan tidak ada lagi pertambahan rumah-rumah (di perkampungan air) yang menyusahkan kita mengawal. Pada masa ini, banyak rumah perkampungan air yang dibina terlalu rapat dan tidak tersusun," katanya pada sidang media di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah di Likas,
dekat sini hari ini.
    Mohammad berkata pihak kerajaan akan mencari jalan yang terbaik untuk merealisasikan perancangan itu secara berperingkat atau berfasa demi kebaikan semua pihak terutama penduduk perkampungan air terbabit selaras dengan peruntukan Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013.
    "Apa yang penting ialah, sebelum melaksanakan pemindahan atau penempatan semula, mesti ada perbincangan kita dengan orang atau penduduk terlibat.
    "Saya ingin tegaskan kerajaan tidak akan membuat sesuatu tanpa perbincangan
dengan pihak yang terlibat...ini bermakna kita perlu ada perbincangan dengan penduduk kampung dan ketua-ketua masyarakat," katanya.
    Beliau berkata dengan adanya perbincangan, pelbagai isu berbangkit termasuk soal pendapatan mereka yang mungkin terjejas, kesihatan dan kemudahan awam yang disediakan serta aktiviti komersil.
    "Kita tidak akan tempatkan mereka kalau tempat baharu itu tidak ada aktiviti komersil," katanya.
    Mohammad berkata pihaknya juga memberi tumpuan kepada aspek kebersihan di kawasan perkampungan air.
    "Semua perkara ini, kita ambil kira dan kita akan berbincang dengan pegawai daerah di ketiga-tiga kawasan ini (Semporna, Lahad Datu, Sandakan) untuk sama-sama berbincang dari segi pemindahan. Banyak aspek yang perlu dikaji untuk tujuan penempatan semula," katanya.
    Beliau berkata pelbagai cabaran yang dihadapi untuk memindahkan mereka kerana "dulu rumah kampung air ini diduduki oleh campuran warga negara dan bukan warga negara dan rumah yang diduduki pun bukan rumah sendiri tetapi disewa dan sebagainya".
    "Sebab itu, kita perlu dapatkan data, maklumat mengenai demografi di kawasan atau kampung terlibat termasuk jumlah yang rumah terlibat dan penduduk yang terlibat khususnya orang tempatan dan jenis pekerjaan mereka, supaya penempatan semula itu tidak menjejaskan pendapatan mereka," katanya.
    Mohammad berkata berdasarkan laporan sebelum ini, terdapat perkampungan air yang digunakan pihak tertentu untuk aktiviti haram termasuk penyeludupan, mencuri bekalan air dan elektrik.
    Beliau berharap jika semuanya berjalan lancar, projek perintis penempatan semula perkampungan air di tiga daerah dalam kawasan ESSCOM itu dapat dilaksanakan tahun ini.
    Mohammad berkata mengikut perancangan ESSCOM, program penempatan semula itu akan diperluaskan ke daerah lain termasuk Tawau, Kunak dan Kudat.
    Penubuhan ESSCOM diumumkan secara dasar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lepas merangkumi kawasan pantai timur negeri itu termasuk Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.
    Penubuhan ESSCOM antara lain bertujuan memantapkan lagi semua operasi yang dilaksanakan oleh pelbagai entiti pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Sunday, June 16, 2013

SUKAN JADI NEGARA TERMASHUR: SALLEH


KOTA BELUD: Sukan boleh menjadikan sesebuah negara itu lebih termashur di dunia, kata Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Salleh Tun Said.
  Katanya, memperolehi tiga emas, lima perak dan Sembilan gangsa pada pencapaian Saga 2013 oleh Kontijen SAGA Daerah 2013 baru-baru ini, disifatnya sebagai satu pencapaian terbaik untuk memperkenalkan bahawa Kota Belud ini “masih Boleh dalam semua bidang” termasuklah sukan.
  Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan mendorong kepada semua alit di daerah itu untuk terus berusaha berlatih mengikut bidang masing-masing sehingga menjadi kebanggaan negara pada masa akan datang.
  Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Insetif Atlet Saga Daerah Kota B elud 2013, di Arena Belia Kementerian Belia Dan Sukan Kota Belud, di sini, Sabtu.
  Salleh berkata, Kota Belud juga tidak kurang jaganya dalam pelbagai acara sukan sejak dahulu, tetapi akhir-akhir ini, Kota Belud didapati sunyi kerana kegiatan sukannya tidak begitu menyerlah disebabkan kurangnya anjuran pelbagai sukan
  Menurut Salleh, selain Taekwondo, Bola Jaring, Boling Padang, Silat beliau yang minat dengan sukan tinju ingin berkerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk menyemarakkan lagi semangat kesukanan Kota Belud pada masa hadapan.
  Sehubungan itu, Salleh yang juga Ketua UMNO Bahagain Kota Belud mengucapkan syabas dan tahniah kepada pencapaian Kontijen Saga Kota Belud 2013 yang masing-masing memperolehi tiga emas, lima perak dan sembilan gangsa ketika menyertai lapan jenis sukan termasuklah taekwondo, bola jaring, boling padang, tinju dan silat.
  Difahamkan penyertaan sulung Bola Jaring Saga Kota Belud, yang terdiri daripada Pengerus Pasukan Hasrinawati Datuk Golkhan, Jurulatih Siti Norasikin Mastun, pemain: Arina Raihanah, Dayana Jaineh, Elyana Sazlin Mashanna dan elyana Sazliah Magbama berjaya memenangi perak dalam pertandingan Bola Jaring Saga yang diadakan di Dewan Mini Putera Jaya Kota Kinabalu baru-baru ini.
  Turut hadirADO(pentadbiran) Peter Jiton, Pegawai Kementerian Belia dan Sukan Kota Belud Madlee Mason, Pegawai Perpaduan daerah Kota Belud Bisi Jamit, Pengerusi Taekwondo Kota Belud Iskandar Syah, Pengurus dan jurulatih sukan dan atlet Saga 2013 Kota Belud

Thursday, June 13, 2013

PELANTIKAN KETUA PEMBANGKANG DI DUN SABAH TIDAK TERMAKTUB DALAM PERLEMBAGAAN


KOTA KINABALU, 13 Jun (Bernama) -- Pelantikan ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak termaktub atau tidak ada dalam perlembagaan dan peraturan mesyuarat DUN negeri, sebaliknya ketua pembangkang dipilih berdasarkan konvensional, kata Speaker DUN Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said.
    Beliau berkata jika parti pembangkang ingin melantik ketua pembangkang, mereka boleh mengemukakannya kepada Speaker, dan Speaker akan mengambil tindakan selepas menerima cadangan itu.
    "Bagaimanapun, sehingga kini pembangkang belum berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas majlis mengangkat sumpah 60 anggota Dewan Undangan Negeri Sabah di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah di Likas, dekat sini hari ini.
    Salleh yang juga Adun Usukan berkata demikian ketika diminta mengulas status sebenar ketua pembangkang di DUN Sabah.
    Beliau berkata bilik khas untuk Adun pembangkang juga disediakan selaras dengan amalan demokrasi.
    Mengenai perbahasan sidang DUN Sabah yang dijangka hangat dengan kehadirian 12 Adun pembangkang, Salleh berharap wakil rakyat dapat mematuhi peraturan mesyuarat sedia ada.
"Perbahasan sepatutnya dibuat secara sihat kerana masing-masing ada pandangan, dan apa yang penting ialah mereka perlu bersikap profesional.
    "Sebagai Speaker saya akan menjalankan tugas secara profesional berpandukan standing order (peraturan tetap)," katanya.
    Perasmian pembukaan persidangan akan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin pada Isnin, 17 Jun manakala persidangan DUN akan diadakan selama tiga hari bermula Selasa, 18 Jun.

Wednesday, June 12, 2013

JALANKAN TANGGUNGJAWAB MENGIKUT MANDAT RAKYAT: MUSA


KOTA KINABALU: Semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang menang dalam pilihan raya umum lalu harus menjalankan tanggungjawab mereka bagi memenuhi mandat yang diberikan oleh rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, menegaskan sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat mereka perlu bekerjasama dengan rakyat demi manfaat bersama.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat khas bersama wakil rakyat BN di Dewan Undangan Negeri di Likas kelmarin. Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak.
Musa berkata ia merupakan keyakinan yang diberikan oleh rakyat, yang seterusnya menjangkakan mereka yang terpilih sentiasa turun padang membantu menyelesaikan masalah penduduk.
Pada masa sama, beliau juga mahu wakil rakyat memberikan maklumat mengenai pembangunan yang dibawa oleh BN selama ini dan menepis segala tuduhan dan tohmahan pihak pembangkang.
"Langkah ini penting supaya rakyat tidak percaya kepada maklumat yang tidak benar, terutamanya yang melibatkan pemimpin dan agenda pembangunan yang dibawa oleh kerajaan," katanya.
Pada sesi persidangan DUN ke-14 minggu depan, Musa berkata kelab penyokong kerajaan sudah bersedia menepis sebarang cubaan membangkitkan isu oleh para perwakilan pembangkang.
Beliau berharap persidangan itu akan berlangsung dengan perbahasan yang sihat dan membina, tanpa ada pihak yang membuat tuduhan tidak berasas.

Saturday, June 8, 2013

PERKENAL SEMULA SISTEM KUOTA PENCALONAN JAWATAN PRESIDEN, TIMB PRESIDEN UMNO - SALLEH


KOTA BELUD: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak menyarankan supaya diperkenalkan semula sistem kuota pencalonan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden Umno, yang pernah dipraktikkan sebelum ini.
    Beliau berkata langkah itu difikirkan relevan dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak kebelakangan ini yang mahukan supaya kedua-dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akhir tahun ini.
    "Lebih penting, pengenalan semula sistem kuota pencalonan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden adalah untuk menentukan mereka yang bertanding jawatan tersebut mempunyai kredibiliti sebagai pemimpin," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Umno Bahagian Kota Belud, di sini hari ini.
    Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud berkata sistem kuota pencalonan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden adalah mekanisme terbaik memastikan keutuhan parti sebagai tunjang pemerintahan negara ini.
    Jika tidak, katanya, sembarangan orang termasuk mereka yang tidak mempunyai kredibiliti boleh menawarkan diri bertanding jawatan tersebut, dan ia tidak baik untuk parti.
    "Sementara bagi jawatan-jawatan lain, termasuk naib presiden, Ahli Majlis Tertinggi (AMT), ketua bahagian dan semua sayap parti boleh dikekalkan sistem pencalonan dan pertandingan yang sedia ada," katanya.
    Ini, katanya, selaras dengan semangat pindaan perlembagaan Umno yang dibuat sebelum ini, yang memberi peluang kepada lebih ramai ahli menentukan hala tuju kepemimpinan parti.
    Bekas Ketua Menteri itu berkata semangat pindaan perlembagaan tersebut perlu dipertahankan demi kelangsungan perjuangan Umno.
    Sebelum ini, calon yang ingin bertanding jawatan presiden perlu mendapat 30 peratus pencalonan daripada 191 bahagian, timbalan presiden (20 peratus), naib presiden (10 peratus) dan kerusi Majlis Tertinggi (5 peratus).
    Pada 24 April 2009, Majlis Tertinggi Umno bersetuju perlembagaan parti dipinda yang menyentuh kaedah dan proses pemilihan supaya ia lebih telus, terbuka dan demokratik.
    Pindaan perlembagaan Umno kemudian dibuat pada perhimpunan agung tahunan Umno pada Oktober tahun yang sama.
    Dalam pada itu, Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Usukan mengajak ahli parti semua peringkat supaya memperkukuh semangat perpaduan, demi menjadikan Umno kekal sebagai parti inklusif.
    "Kekuatan ahli Umno di peringkat akar-umbi memainkan peranan besar dalam mengupayakan perjuangan dalam usaha menjadikan Umno lebih inklusif," katanya.

Friday, June 7, 2013

PEJABAT TERBUKA ADUN USUKAN


TIMBALAN Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Kota Belud, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak, meneliti permasalahan penduduk setempat sempena pejabat terbuka yang diadakannya di Rumah Rehat Kota Belud kelmarin.
Ia adalah antara pendekatan beliau sejak dahulu untuk mendekati dan menyelami denyutan nadi rakyat, khususnya di kawasan DUN Usukan.
Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah memenangi kerusi DUN Usukan dalam pilihan raya umum ke-13 baru-baru ini, dengan mencatat majoriti besar.

PENEMPATAN POS KAWALAN DI PANTAI TIMUR SABAH AKAN DIKAJI SEMULA


SEMPORNA, 7 Jun (Bernama) -- Penempatan pos kawalan pasukan keselamatan di pantai timur negeri ini akan dikaji semula bagi meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan itu.
    Ketua Pengarah Kawasan Khas Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Mohammad Mentek berkata kajian itu bagi mengenal pasti lokasi strategik penempatan pos kawalan dan mengikut kesesuaian.
    "Setiap pos kawalan ini perlu kita lihat dan kaji semula selari dengan perkembangan semasa," katanya ketika ditemui selepas mengetuai lawatan pegawai ESSCOM di pos kawalan pasukan keselamatan di sekitar perairan Tawau dan Semporna hari ini.
    Antara pos kawalan yang dilawati ialah di Wallace Bay, Tawau, manakala di perairan Semporna meliputi Pulau Buhey Dulang, Pandanan, Mataking, Danawan, Mabul dan Sipadan.
    Beliau turut menyertai rondaan keselamatan Tentera Laut Diraja Malaysia menggunakan kapal KD Kelantan di perairan Sulu hingga di sempadan perairan Malaysia dan Indonesia.
    Mohammad berkata cadangan kajian semula penempatan pos kawalan itu dibuat hasil tinjauan dan lawatan beliau ke pos kawalan tersebut.
    Menurutnya hasil lawatan itu mendapati pos kawalan tersebut juga perlu dinaik taraf dari segi prasarana dan kemudahan asas khususnya air bersih untuk kegunaan anggota.
    Beliau berkata sebagai contoh pos kawalan di Wallace Bay, Tawau dikendalikan oleh Pasukan Gerakan Am yang hanya bergantung air hujan dan tempat tinggal yang tidak selesa.
    Katanya ESSCOM juga akan melihat bantuan yang sesuai diberikan kepada Angkatan Tentera Bersama untuk meningkatkan lagi  kemampuan kawalan sempadan di perairan negara.
    Beliau berkata ada beberapa perkara perlu dilihat bukan sahaja keupayaan aset sedia ada tetapi juga  kebajikan pegawai tentera dan polis yg bertugas di pos kawalan.
    Mohammad menyifatkan lawatan itu memberi gambaran yang lebih mendalam dari aspek penting komponen kawalan sempadan itu sendiri.

Wednesday, June 5, 2013

HAYATI SEMANGAT PINDAAN PERLEMBAGAAN UMNO


Oleh
SALLEH SAID KERUAK

KEBELAKANGAN ini, saya membaca banyak komen dan tulisan mengenai pemilihan pucuk pimpinan parti Umno. Sebagai ahli Umno, komen dan tulisan-tulisan itu turut menarik perhatian saya. Media arus perdana dan media alternatif membuat laporan dari pelbagai sudut mengikut perspektif masing-masing.

Saya mengikuti perbahasan mengenainya, terutama berhubung saranan pelbagai pihak supaya dua jawatan tertinggi dalam parti, iaitu merujuk kepada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti tahun ini.

Berbagai hujah dan alasan diberikan. Masing-masing ada pro dan kontranya.

Secara peribadi, saya melihat perbahasan ini sesuatu yang sihat dalam perjuangan parti mengharungi cabaran. Ini kerana ia dapat menzahirkan suara hati, daripada peringkat akar-umbi sehingga kepada kepemimpinan atasan.

Bagi saya, kedudukan Umno kini lebih demokratik setelah perlembagaannya dipinda tidak lama dulu, yang memberi peluang lebih ramai pemimpin parti di peringkat akar-umbi menentukan kepemimpinan parti.

Dan sebagai sebuah parti yang demokratik, sudah tentu halatuju dan masa depannya wajar diserahkan kepada ahli parti sendiri, seiring dengan matlamat dan prinsip pindaan perlembagaan yang telah dibuat sebelum ini.

Untuk itu, saya berpandangan bahawa semangat pindaan ini mesti dipertahankan dan syor agar jawatan-jawatan penting tidak dipertandingkan adalah bertentangan dengan semangat pindaan tersebut.

Saya masih ingat lagi bahawa Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, sendiri sebelum ini ada menyatakan hakikat bahawa Umno sebagai parti demokratik, dan terserah kepada ahli-ahli parti menentukan halatuju perjuangannya.

Saya sependapat dengan pendirian seperti itu di mana ia harus disanjungi, dengan mengambil kira senario politik keseluruhannya pasca pilihan raya umum ke-13 lalu.

Dalam PRU-13 lepas, rakyat telah menghantar mesej yang jelas kepada kita dan kita harus menganalisanya dalam konteks kepartian, dan agenda penyatuan demi menentukan Umno terus unggul dan kekal relevan.

Dalam hal ini, pemimpin dan ahli parti di semua peringkat harus sentiasa bersikap terbuka menerima cadangan, pandangan atau kritikan demi kelangsungan dan survival perjuangan politik.

Kami Mahu Keamanan Dan Keharmonian Di Sabah: Musa


KOTA KINABALU, 1 Jun (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata pintu Sabah sentiasa terbuka kepada mereka yang mahu melihat dan menghayati kepelbagaian etnik dan budaya selain menyertai perayaan di negeri itu.

Katanya Sabah juga mengalu-alukan mereka yang menghormati masyarakat sivil iaitu yang berpegang kepada undang-undang bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian.

"Bagaimanapun, jika kami ada sebab untuk percaya kehadiran anda di sini akan menggugat suasana ideal yang dinikmati Sabah selama ini, anda tidak dialu-alukan," katanya dalam kenyataan, di sini.

Musa berkata bertentangan dengan apa yang disebar menerusi media sosial, larangan memasuki Sabah yang dikenakan terhadap Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar tidak bermotifkan politik.

"Ada pemimpin pembangkang lain yang datang dan bebas bergerak di seluruh Sabah terutama menjelang pilihan raya lalu. Mereka menyebarkan resepi lama yang sama mengandungi pembohongan, penipuan dan fitnah untuk mengaburi mata rakyat. Kami tidak halang mereka," katanya.

"Sekarang pilihan raya sudah berakhir, pemimpin mereka enggan menerima keputusan. Ini kes orang kempunan. Beliau mahu menimbulkan rasa bengang rakyat agar berarak di seluruh negara bagi menunjukkan rasa tidak puas hatinya," kata Musa.

"Kami ada sebab untuk percaya niat Nurul Izzah ke Sabah kali ini mungkin tidak sebaik seperti yang beliau dan rakannya dalam pakatan pembangkang nyatakan," katanya.

Nurul Izzah dihalang daripada memasuki negeri itu pada Khamis.

Musa berkata Sabah dan rakyatnya tidak perlukan propaganda berterusan daripada pembangkang bagi membangkitkan rasa benci dan prasangka rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional.