Translate

Friday, August 16, 2013

UMNO SABAH AKAN 'BERKOMUNIKASI" DENGAN RAKAN UMNO BERHUBUNG KEWAJARAN MUSA BERTANDING

KOTA KINABALU, 16 Ogos (Bernama) -- Umno Sabah akan "berkomunikasi" dengan rakan Umno di Semenanjung berhubung kewajaran mencalonkan Ketua Menteri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Musa Aman bertanding satu daripada tiga jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti Oktober ini.
    "Sebagai pemimpin dari Sabah, kami mempunyai alasan kukuh dan kami berpendapat mereka dapat diyakinkan dan bersetuju dengan kami bahawa Musa  pilihan terbaik untuk mengisi satu daripada tiga jawatan naib presiden," kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubugan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak, di sini hari ini.
    Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Yahya Hussin baru-baru ini bahawa Umno Sabah sudah bersedia menggerakkan jenteranya sekiranya Musa memutuskan bertanding jawatan itu.
    Yahya juga dipetik sebagai berkata setakat ini lebih 20 Bahagian Umno telah mengikrarkan sokongan padu kepada Musa, dan menambah Ketua Menteri ialah antara tiga calon teratas bagi jawatan Majlis Tertinggi Umno dalam pemilihan parti bagi dua penggal berturut-turut.
    "Sokongan padu daripada lebih 20 Bahagian itu atas keyakinan mereka terhadap keupayaan dan kapasiti Datuk Seri Musa sebagai pemimpin parti," kata Timbalan Ketua Menteri.
    Salleh berkata kejayaan Musa menerajui Barisan Nasional (BN) Sabah mengekalkan kuasa di negeri ini dengan majoriti dua pertiga dengan memenangi 48 daripada 60 kawasan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas, telah membuktikan komitmen, kerja keras dan kesetiaan beliau kepada
parti.
    BN negeri juga memenangi 22 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah untuk menyumbang kepada pembentukan kerajaan BN di peringkat persekutuan.
    Salleh juga melahirkan keyakinan Musa akan mampu, bersama-sama dengan pemimpin yang lain, memperkukuhkan Umno untuk menang selesa dalam pilihan raya umum akan datang.
    "Beliau (Musa) akan memberikan pendapatnya secara jujur dan ikhlas mewakili bukan sahaja Sabah tetapi juga anggota parti.
    "Naib Presiden ialah jawatan penting dalam parti dan anggota mesti diberikan pilihan. Kami pasti akan memberikan pandangan kami kepada rakan-rakan di Kuala Lumpur mengenai Ketua Menteri kami.
    "Apa pun, Musa yang akan memberikan kata putus (sama ada akan bertanding atau tidak) selepas menimbangkan semua faktor demi kebaikan Sabah dan parti," kata Salleh.

Thursday, August 15, 2013

Najib Semakin Popular Selepas PRU13, Kata Salleh

KOTA KINABALU, 14 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mencapai 100 hari pada Selasa sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kini semakin popular dan terus menjadi pilihan nombor satu rakyat dalam mengharungi suasana politik yang kian mencabar, kata tokoh politik terkenal Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Beliau berkata populariti presiden Umno itu terus meningkat berikutan kejayaannya menerajui parti itu meraih lebih banyak kerusi parlimen dan sekali gus mengekalkan Umno sebagai parti dominan serta menjadi pilihan utama rakyat.

"Jelas sekali, Najib berdepan dengan pertarungan politik bagi menentang parti yang mengamalkan politik 'melampau' dari segi pendekatan mereka.

"Bagaimanapun, beliau (Najib) berjaya mengimbangi antara prinsip perjuangan Umno dan keadilan untuk semua dengan mewujudkan peluang ekonomi dan pekerjaan untuk rakyat daripada segenap lapisan kehidupan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah itu berkata demikian bagi mengulas cabaran politik yang dihadapi Najib dalam tempoh 100 hari pentadbirannya selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri berikutan kejayaan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasanya melalui PRU13 pada Mei tahun ini.

Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, berkata Najib secara tangkas membalas 'persepsi politik' penentangnya dengan membawa hasil atau "mengotakan apa yang beliau janjikan atau suarakan kepada rakyat".

"Rakyat sudah muak dengan kerenah mereka yang tidak henti-henti melancarkan propaganda politik. Sebaliknya, Najib lebih fokus dan terus memberi yang terbaik kepada rakyat serta tidak mempedulikan sandiwara politik pembangkang," katanya.

Sejajar dengan itu, bekas ketua menteri Sabah ini mengingatkan anggota Umno supaya tidak terpedaya oleh permainan politik pembangkang, yang cuba meraih keuntungan atau menangguk di air keruh daripada sesuatu keadaan.

Salleh berkata agenda transformasi politik yang dilaksanakan Najib sebagai presiden Umno berjaya meraih tambahan 30 peratus undi untuk Umno pada pilihan raya umum leaps.

"Ini terbukti melalui peningkatan jumlah kerusi parlimen yang dimenangi parti itu daripada 79 dalam PRU12 pada 2008 kepada 88 pada PRU13.

"Jika dilihat pada 89 kerusi yang dimenangi pembangkang, sebagai sebuah parti, Umno secara bersendirian dapat menyaingi jumlah kerusi yang diraih secara bersama oleh ketiga-tiga parti pembangkang (DAP, PKR dan PAS)," katanya.

Salleh berkata pencapaian BN pada 2008 dan 2013 tidak boleh dibuat perbandingan atau dihakimi secara matematik kerana senario politik yang berbeza.

"Pelbagai transformasi politik telah dilaksanakan di bawah kepimpinan Najib, terutama dalam Umno dan sebab itulah pada pilihan raya umum lepas, Umno secara jelas kekal sebagai parti yang menjadi pilihan majoriti rakyat.

"Umno telah membuktikan kemampuannya untuk mengharungi medan politik tanah air apabila berjaya menawan kembali Kedah (daripada pembangkang) dan Perak (yang dikuasai pembangkang pada 2008) dengan jumlah undi yang bertambah," katanya.

Malangnya, kata Salleh, sokongan terhadap parti komponen BN lain mengalami kemerosotan dan "perkara ini sedang ditangani perdana menteri dengan matlamat akhirnya untuk menyatupadukan seluruh rakyat, terutama dari segi hubungan sesama mereka yang kelihatan agak rapuh, hingga boleh mewujudkan polarisasi kaum".

Beliau berkata setelah mengambil kira semua perkembangan itu, sebagai perdana menteri yang berwawasan jauh, pada 26 Jun lepas, Najib mengambil langkah proaktif dengan mencadangkan penubuhan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional sebagai usaha mengeratkan hubungan kaum dan mengukuhkan perpaduan nasional.

"Kita (dalam Umno) tidak sepatutnya terperangkap oleh politik pembangkang," katanya sambil menambah bahawa Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin sering turun padang untuk berkhidmat kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Monday, August 12, 2013

Pertandingan Jawatan Peluang Bagi Ahli Memilih Yang Terbaik: Salleh

KOTA BELUD: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said berkata jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Umno perlu ada pertandingan bagi membolehkan ahli-ahli parti membuat pilihan yang terbaik.
Beliau berkata dengan adanya persaingan, maka ahli parti boleh memilih pemimpin terbaik, seiring prinsip demokratik yang diamalkan oleh Umno.
"Jangan ada usaha mewujudkan `pakej' semua jawatan secara perundingan kerana ia tidak baik untuk parti kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malam Aidilfitri anjuran Umno cawangan Kampung Pengkalan Abai, di sini malam tadi.
Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah berkata pihaknya bersetuju supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak perlu dicabar.
"Namun, bagi jawatan Naib Presiden dan AMT perlu ada persaingan untuk membolehkan ahli membuat pilihan yang terbaik.
"Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden masing-masing hanya satu dan tidaklah perlu menjadi rebutan, tetapi jawatan Naib Presiden ada tiga...justeru sesuailah ada pertandingan untuk membolehkan ahli-ahli membuat pilihan bagi mengisi slot berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas reaksi pemimpin-pemimpin Umno Sabah yang menyokong saranannya sebelum ini bahawa Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman amat sesuai untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno.
Salleh sebelum ini dilaporkan berkata bahawa Musa merupakan calon pilihan terbaik bagi mengisi slot jawatan Naib Presiden Umno, dengan mengambil kira `track record' Musa memimpin Umno Sabah sehingga menyumbang kepada kemenangan besar dalam PRU-13 baru-baru ini.
Berikutan kenyataannya itu, beberapa Ketua Umno Bahagian di Sabah menyatakan sokongan secara terbuka kepada Musa jika Ketua Menteri memutuskan bertanding jawatan berkenaan dalam pemilihan parti hujung tahun ini.
Sementara itu, Salleh turut mengingatkan semua ahli parti supaya sentiasa mengutamakan soal perpaduan demi survival perjuangan parti.
"Sebagai parti dominan dan tunjang pemerintahan negara, Umno perlu sentiasa padu dan mantap kerana kekuatannya juga mencerminkan keutuhan kerajaan.
"Oleh itu, setiap ahli parti mesti mendahulukan kepentingan parti daripada kepentingan diri, supaya apabila parti kukuh, maka kerajaan akan menjadi kuat dan hasilnya rakyat akan mendapat manfaat," katanya.