Translate

Friday, December 23, 2016

Krismas sebagai wadah penyatuan


Salleh Said Keruak

1. AHAD ini, umat Kristian meraikan Krismas. Saya dan keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Hari Natal kepada semua yang meraikannya. Semoga sambutan pada tahun ini membawa kebahagiaan, kedamaian, dan kesejahteraan kepada kita semua.

2. Seperti perayaan-perayaan lain, Krismas juga menjadi wadah penyatuan rakyat. Ini kerana amalan rumah terbuka dan kunjung-mengunjungi akan mengeratkan lagi perpaduan, menjalin persefahaman serta mengukuhkan silaturahim.

3. Dalam konteks di negeri Sabah yang berbilang kaum dan agama, Krismas lebih dirasakan signifikannya dan harus diteladani. Benih penghormatan yang ditanam sejak awal dahulu begitu subur. Perbezaan agama tidak menjadi batas penghalang untuk saling berkunjung, duduk dan makan semeja, dalam suasana penuh muhibah.

4. Inilah simbol tentang keunikan masyarakat kita dalam kepelbagaian, sekali gus menjadi lambang kesatuan.Begitulah indahnya kita di Sabah.

5. Secara peribadi, saya sendiri mempunyai ramai saudara mara, sahabat dan teman-teman dari kalangan umat Kristian. Perkahwinan campur adalah sesuatu yang lumrah bagi masyarakat kita di Sabah.

6. Semua agama mendidik ke arah kebaikan dengan menerapkan prinsip humanisme dan toleransi. Justeru, yang penting fahaman dan pendekatan harus pragmatik kerana hakikatnya kita dari `rumpun' yang sama dan Malaysia adalah tanah air kita. Marilah kita berpadu tenaga dan usaha demi negara.

7. Apapun identiti,  dan apapun agamanya, sama ada Islam, Kristian, Buddha dan sebagainya, kita semua bertanggungjawab menjamin proses pembangunan berterusan dan keamanan negara berkekalan. Untuk itu, mari kita bangunkan kerukunan beragama, dengan memperkukuh  toleransi.  Mari kita suburkan budaya saling menghargai dan saling menghormati.

8. Di penghujung tahun 2016 yang penuh dengan cabaran ini, mari kita hadapi tahun depan dengan penuh semangat dan pengharapan. Tahun ini, tidak dinafikan, negara kita mencipta banyak kejayaan walaupun berada di tengah-tengah kemelut ekonomi global.

9. Justeru, pada tahun hadapan 2017, marilah kita tingkatkan kebersamaan dan kerja keras kita, untuk melakukan usaha yang lebih baik lagi.

Selamat Menyambut Hari Krismas 2016 dan Tahun Baru 2017 yang menjelang tiba.


No comments: