Translate

Monday, July 17, 2017

MRT: KEMUDAHAN UNTUK KESEJAHTERAAN RAKYAT


Salleh Said Keruak

1. Hari ini PM akan merasmikan pembukaan Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51km yang akan memberi manfaat kepada 400,000 penumpang setiap hari.

2. Projek MRT Sungai Buloh-Kajang dengan kos RM21 bilion ini mula dibina pada 8 Julai 2011, dan akan memberi perkhidmatan kepada seramai 2 juta penduduk ibu kota.

3. Pembinaan MRT ini membuktikan empat perkara.  Pertama, kerajaan sentiasa meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai matlamat utama pemerintahannya. Kedua, kerajaan tidak mendiskriminasikan negeri yang dikuasai oleh parti yang tidak sehaluan dengannya.

4. Ketiga, pembinaan MRT ini membuktikan kecemerlangan kerajaan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien kepada rakyat di ibu negara.  Keempat, kita mempunyai kemudahan sistem pengangkutan awam yang setanding dengan negara maju.

5. Dengan terbinanya MRT ini, maka manfaatnya banyak sekali untuk rakyat. Antaranya ialah menjimatkan masa dan kos perjalanan.

6. Selain itu, penggunaan MRT ini juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.  Ini kerana MRT mengurangkan 160,000 kenderaan memasuki bandar setiap hari.  MRT ini juga dapat mengatasi pencemaran udara, mengurangkan pencemaran alam dan memudahkan perjalanan kerana mempunyai jadual perjalanan yang telah ditetapkan.

7. Justeru pelaburan kerajaan yang tinggi dalam menyediakan kemudahan pengangkutan kepada rakyat, Indeks Persaingan Global 2016-2017 meletakkan Malaysia di tangga ke-11 teratas dalam kalangan 138 negara untuk pembangunan infrastruktur pengangkutan.

8. Kedudukan Malaysia ini adalah lebih baik dari negara-negara Asean yang lain seperti Indonesia (36), Thailand (37), Vietnam (63), Filipina (90) dan Laos (110).

9. Di akhir analisisnya, satu yang nyata ialah MRT ini adalah projek negara untuk rakyat. Walaupun kos pembinaannya tinggi, kerajaan tetap melaksanakan projek ini utk kesejahteran rakyat.Ini adalah cenderahati PM untuk negara. Dengan kejayaan ini, marilah kita sama-sama meraikan satu lagi simbol kejayaan pembangunan infrastruktur pengangkutan awam negara.

No comments: