Translate

Wednesday, September 6, 2017

BAGAIMANA PAS TANPA PAKATAN HARAPAN?


Salleh Said Keruak

1. Pada tahun 1978, Cornell University Press menerbitkan buku terkenal tulisan Clive Kessler tentang politik dan masyarakat Kelantan bertajuk Islam and Politics in a Malay State: Kelantan, 1838-1969.

2. Dua tahun kemudian, Heinemann pula menerbitkan buku terkenal tulisan John Funston tentang UMNO dan PAS bertajuk Malay Politics in Malaysia: A Study of UMNO and PAS.

3. Persamaan menarik kedua-dua buku ini ialah pengarangnya menyatakan PAS adalah parti yang akan terus kekal dalam persada politik negara kerana perjuangan agamanya.  Rakyat menyokong PAS bukan hanya kerana melihat PAS sebagai parti politik, tetapi juga sebagai perjuangan untuk menegakkan agama.  Maka, selagi mana ada pemahaman sebegini dalam hati orang PAS, sukar untuk PAS dilenyapkan.

4. Malah Kessler pergi lebih jauh lagi dengan menyatakan politik PAS akan kekal kerana ahlinya berpolitik dengan akal, manakala yang menolaknya adalah mereka yang berpolitik dengan nafsu.

5. Oleh sebab itulah, walaupun parti PAS ada jatuh bangunnya, ahli PAS tetap setia dengan partinya dan jentera akar umbinya juga tetap kuat.

6. Jika melihat kepada rekod PAS, kenyataan di atas ada betulnya.  PAS tidak lemah kerana krisis partinya.  Bagi ahli PAS, pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi tidak perjuangannya.  Inilah yang ditunjukkan oleh rekod PAS.

7. Pada tahun 1977, berlaku perpecahan dalam PAS apabila Berjasa ditubuhkan.  Pada Oktober 1982, Yang Dipertua Agung PAS, Mohd Asri Muda meletakkan jawatannya setelah berlaku pertelingkahannya dengan golongan muda dalam PAS.  PAS tidak lemah dengan peletakan jawatan Asri walaupun ketika itu pemerhati politik mengaitkan “Asri itu PAS dan PAS itu Asri.”  Ini menunjukkan PAS tidak berkubur kerana berlaku perpecahan dalam partinya.

8. Seperti sekarang, apabila PAS berpecah dan PAN ditubuhkan, adakah PAS lemah?  Saya tidak nampak begitu.  Kajian IDE, sebuah badan penyelidikan kerajaan negeri Selangor melaporkan PAN hanya mendapat 1 peratus sokongan rakyat.

9. Dr Mohd Zuhdi Marzuki, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP) pula menyatakan sokongan PAN menurun kepada 0.5%.   Sebabnya mudah: rakyat bosan dengan sikap PAN yang tidak konsisten.

10. Jika begitulah senarionya, bagaimana PAS setelah ini?  Apakah PAS akan berkubur setelah tidak lagi bersama PH?

11. Melihat kembali kepada kata-kata Kessler, PAS adalah parti ‘akal’ yang akan terus kekal biarpun pemimpinnya bertukar ganti.  Seperti kata Kessler lagi, yang tewas ialah ‘nafsu.’  Saya semacam tertarik dengan kata-kata ini.

No comments: