Translate

Sunday, September 10, 2017

BN bukan terbaik tetapi konsisten, kata Salleh Said Keruak

BARISAN Nasional (BN) mungkin bukan pilihan yang terbaik dalam pilihan raya umum akan datang, tetapi prestasinya sejak sekian lama dan konsisten dalam mentadbir negara patut jadi alasan yang baik untuk gabungan 13 komponen itu meraih sokongan pengundi, kata seorang menteri persekutuan.
Salleh Said Keruak, pemimpin kanan Umno dan juga orang penting dalam gabungan BN berkata, ia adalah pilihan yang lebih baik untuk memerintah negara kerana dasarnya yang mempunyai hala tuju yang jelas.
"Kita tidak kata kita yang terbaik tetapi kita saja alternatif yang tinggal. BN adalah sebuah parti yang terbukti kemampuannya untuk menyatupadukan rakyat dan membangunkan negara.
“Dasar-dasarnya amat jelas dan selari dengan kehendak rakyat. BN mengutamakan kestabilan politik negara demi masa depan yang lebih cerah.
“Parti-parti yang bersaing dengan BN hanya sibuk berpolitik dan bermatlamat politik semata-mata,” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia itu dalam satu temubual eksklusif bersama The Malaysian Insight, pada Khamis.
Menurut Salleh, BN “bergantung pada track record kita dan apa yang akan "kita lakukan pada masa hadapan".
“Inilah yang kita mahu tawarkan kepada rakyat bahawa kita sebuah parti yang bertanggungjawab yang akan menentukan kestabilan, keharmonian dan memilih jalan sederhana untuk membangunkan negara. Kita memilih politik kesederhanaan,” kata pemimpin dari Sabah ini.
BN merupakan parti gabungan paling lama memerintah di dunia, mentadbir Malaysia sejak Malaya merdeka pada tahun 1957 dengan nama Perikatan sebelum ini.
Salleh mengakui perpecahan Pakatan Rakyat dan apabila PAS tidak menyertai Pakatan Harapan (PH) menguntungkan mereka tetapi yakin, tanpa itu semua BN tetap akan menang.
“Mungkin ada (kelebihan) tetapi kita tidak bergantung kepada perpecahan dalam soal pilihan raya. Kita menghadapi sebagai satu pasukan BN. Kita kena bersaing secara sihat,” katanya.
Salleh berkata, sokongan pengundi Melayu hanya akan pergi kepada sama ada Umno atau PAS walaupun ada parti berasaskan orang Melayu seperti Bersatu atau Amanah.
“Ada pelbagai parti yang menawarkan diri tetapi saya yakin mereka masih bersama Umno dan penyokong PAS masih bersama PAS.
“Pada saya di Malaysia hanya ada tiga parti utama, Umno, PAS dan DAP. Dan sekarang masing-masing dengan tiga kumpulan berbeza.”
Berikut petikan wawancara berkenaan:
TMI: Adakah BN terkesan dengan kehadiran Bersatu? Apa potensi BN menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan kekal di Putrajaya selepas kehadiran Bersatu?
Salleh: Saya tidak nampak masalah BN untuk mendapat kemenangan PRU kerana pada saya kita telah berjaya memberikan penjelasan dalam isu-isu berbangkit oleh pihak lawan, dan kita akan teruskan usaha untuk melaksanakan dasar-dasar dan terus mendekati semua lapisan rakyat.
Menjelang PRU memanglah macam-macam isu akan dibangkitkan. Masing-masing ingin menarik minat pengundi untuk bersama mereka dan ia tidak salah dalam sistem demokrasi kita. Tetapi kita harus percaya rakyat sudah matang dan boleh menilai mana parti sepatutnya dipilih menjadi pemerintah.
Pembangkang pun tidak boleh menentukan siapa perdana menteri mereka, tidak boleh susun sendiri struktur parti mereka, jadi bagaimana hendak memberi kepercayaan kepada mereka.
Kita akan jelaskan kepada rakyat tentang isu-isu yang dibangkitkan. Kita yakin majoriti rakyat akan bersama kita.
TMI: Penganalisis dan kajian banyak menjangkakan BN menang jika berlaku pertembungan tiga penjuru. Apa komen?
Salleh: Itu kajian mereka tetapi kita bersiap sedia, sama ada dua atau tiga penjuru, itu bukan menjadi pertimbangan pokok kita dalam pilihan raya ini. Kita akan bergantung pada "track record" kita dan apa yang akan kita lakukan pada masa hadapan.
Itu yang kita ingin tawarkan kepada rakyat bahawa kita adalah parti yang bertanggungjawab yang akan menentukan kestabilan, keharmonian  dan memilih jalan tengah untuk membangunkan negara kita
TMI: Yakin BN akan dapat dua pertiga majoriti pada PRU14?
Salleh: Memang kita berusaha untuk mendapatkan sebanyak mungkin kerusi yang boleh dan tiada benda yang mustahil. Akhirnya, rakyat yang menentukan. Kita berusaha ke arah itu (menang dua pertiga).
TMI: Dr Mahathir Mohamad mendakwa Najib Razak akan lakukan apa saja untuk kekal menang termasuk isytihar darurat. Apa komen datuk?
Salleh: Itu hanya andaian, tidak ada apa-apa. Dulu zaman dia ada ISA, sekarang tiada ISA. Dia bebas bercakap sesuka hati dia.
Deposit tetap
TMI: Dr Mahathir kata Sabah bukan lagi deposit tetap BN. Beliau yakin PH akan menang separuh daripada kerusi Parlimen Sabah.  Beliau juga mahu bekerjasama sama dengan parti tempatan Sabah.
Salleh: Biarlah Dr Mahathir dengan andaian dia. Ia tidak akan berlaku. Insya-Allah BN masih menang besar di Sabah kerana umumnya rakyat puas hati dengan pencapaian BN, kerana kita mengamalkan politik pembangunan. Itu hanya andaian Tun Mahathir.
Dulu Umno dia yang bawa ke Sabah. Dia tidak kata apa pun. Dia yang kembangkan (Umno) pada ketika itu. Tun Mahathir tidak cerita pun sekarang. Dia tidak konsisten.
Kerjasama dengan parti tempatan di Sabah dengan (Parti Warisan) Shafie Afdal, barangkali. Saya hairan Tun bercerita mengenai parti tempatan. Ketika dulu dia bawa Umno ke Sabah tidak berbangkit pun soal itu. Soalnya bukan tempatan atau nasional. Yang penting ialah parti berupaya untuk membawa pembangunan di Sabah dan menyatupadukan masyarakat.
TMI: Adakah parti tempatan di Sabah satu ancaman?
Salleh: Biasalah pilihan raya, kita ada persaingan politik. Masing-masing akan mencari pengaruh dan terpulang pada rakyat Sabah. Saya percaya mereka akan bersama kita.
TMI: Apabila Anwar Ibrahim dipecat, BN hilang 2/3 majoriti. Apabila Dr Mahathir tubuh parti, adakah BN akan tumbang?
Salleh: Kita mengamalkan sistem parti. Kita pentingkan parti, bukan individu, kerana parti yang berupaya bentuk kerajaan. Kalau lihat sejarah Umno dan BN sejak dahulu lagi, pelbagai pergolakan berlaku tetapi rakyat masih lagi bersama Umno.
Kita kena pastikan ada persaingan sihat. Kita tidak boleh terlalu emosional. Adalah hak masing-masing untuk mempertahankan dasarnya. Akhirnya rakyat akan membuat penilaian dan rekod BN terbuka untuk rakyat nilai.
TMI: Kenapa kata DAP dominan sedangkan dalam struktur PH tidak banyak jawatan dipegang oleh DAP?
Salleh: Dalam parti pembangkang dia yang dominan. Dominan dari segi jumlah kerusi. Umno paling banyak dalam BN, dan dalam PH, itu DAP. Tapi pelik bukan, struktur (PH) tidak banyak DAP?
PRU14: Orang Melayu dan anak muda
TMI: Bagaimana pengaruh Bersatu terhadap orang Melayu?
Salleh: Memang sekarang ini ada banyak usaha untuk pecahkan Melayu. Dulu pun banyak tetapi umumnya Melayu masih dalam Umno dan PAS. Berdasarkan rekod pilihan raya, Melayu (memilih) sama ada Umno atau PAS. (Pengaruh Bersatu) Masih belum terbukti lagi. Sekarang platform yang digunakan Bersatu ialah DAP.
TMI: Adakah penyokong Umno dan PAS perlu bersatu untuk undi Melayu?
Salleh: Undi adalah sulit dan terserah kepada pengundi untuk membuat pilihan. Kita boleh meyakinkan atau merayu para pengundi untuk memilih calon parti masing-masing dan akhirnya kuasa itu di tangan mereka.
TMI: Ada dakwaan pengundi terutamanya anak muda mahu boikot PRU kerana merasakan mereka tiada pilihan. Apa komen?
Salleh: Kita minta pengundi dan anak muda keluar beramai-ramai. Ini tanggung jawab mereka, hak mereka. Mereka mesti bertanggungjawab menentukan kepimpinan negara. Jangan sedemikian (boikot). Kita pun sentiasa engage anak muda.
TMI: Bagaimana mendekati anak muda?
Salleh: Apa kehendak anak muda? Yang penting kita kena tentukan satu peluang pekerjaan untuk anak muda. Kedua, peluang ekonomi dan kita jelaskan apa yang kita lakukan sekarang adalah untuk membuka pekerjaan dan ekonomi.
Apabila kita lihat pertumbuhan ekonomi, apabila banyak pelaburan datang ke Malaysia, ini jana peluang pekerjaan. Kepada anak muda, kita yakinkan parti ini (BN) bertanggungjawab melakukan sedemikian. Parti lawan asyik berpolitik dan dasar tidak jelas. – 10 September, 2017.

No comments: