Translate

Saturday, September 16, 2017

Hari Malaysia: KITA MAJU DAN MAKMUR BERSAMA


Salleh Said Keruak

1. Hari ini kita menyambut penubuhan Malaysia. Tarikh ini kita sambut kerana inilah tarikh keramat yang menjadikan kita sebuah negara bangsa.  Tarikh inilah Sabah, Sarawak dan Singapura bersama dengan Tanah Melayu membentuk Persekutuan Malaysia.

2. Setelah Singapura berpisah dari Persekutuan pada 9 Ogos 1965, negara kita pesat membangun dan politik kita semakin stabil.  Rakyatnya pula semakin bersatu menyebabkan kita juga menyambut 16 September ini sebagai hari penyatuan.  Ini kerana pada hari inilah semua kaum dan etnik di Malaysia bersatu menyambutnya sebagai hari penubuhan negara kita.

3. Sebagai rakyat, tentunya kita bangga dengan apa yang telah negara kita capai.  Dari segi ekonomi, kita perkenalkan DEB dan sekarang ini MEB dengan pelbagai pelan transformasi kerajaan.  Dari segi pembangunan, kita ada pelbagai kemudahan prasarana dari Lebuh Raya Pan Borneo sehingga ke MRT.  Dalam bidang sukan, kita ada pelbagai nama seperti Pandelela Rinong, Lim Chong Wei dan lainnya.

4. Dalam bidang politik, kita berupaya mengekalkan kestabilan dan keselamatan politik serta kedaulatan negara kita.  Kita juga bukan lagi pemain politik lokal atau regional. Politik kita telah melangkah ke dunia global.  Baharu sahaja pemimpin kita pulang dari Amerika dan London kerana bertemu Trumph dan Teresa May untuk membincangkan soal pembangunan ekonomi dan keselamatan dunia.  Begitulah negara kita setelah 54 tahun penubuhan Malaysia dan 60 tahun merdeka.

5. Apakah faktor utama pencapaian kita ini?  Semuanya kerana kita mempunyai pemimpin hebat, politik federalisme yang sihat, dan hubungan rakyat yang rapat walaupun kita dipisahkan oleh Laut Cina Selatan dan etnik yang pelbagai.  Rapatkan lagi barisan kita sebagai sebuah negara bangsa, dan kita akan menjadi negara yang lebih cemerlang ke depan.

6. Hari ini, kita sudah menjadi bangsa Malaysia yang hebat kerana sudah boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa maju lain di dunia.  Tahniah Malaysia.

No comments: