Translate

Friday, September 1, 2017

SUKAN SEA DAN HARI MERDEKA: KEMERIAHAN DAN KEBANGGAAN BERGANDA


Salleh Said Keruak

1. Pada 30 Ogos 2017, saya di Stadium Bukit Jalil sempena majlis penutup Sukan SEA.  Saya bangga, bersemangat dan terharu melihat stadium yang boleh memuatkan 100,000 orang penuh.

2. Rakyat daripada pelbagai peringkat usia dan bangsa datang untuk meraikan kemenangan kita menjadi juara Sukan SEA ke-29.  Sasaran kita adalah 111 pingat emas seperti mana yang pernah kita capai pada tahun 2001, tetapi yang kita peroleh ialah rekod pencapaian 145 pingat emas daripada 404 pingat emas dipertandingkan (35.9 peratus).

3. Setelah penutup Sukan SEA selesai, acara disambung pula dengan majlis menyambut hari kemerdekaan kita yang ke-60.  Semasa PM berucap, sorokan dan tepukan penonton gemuruh sekali.

4. Sorokan menjadi semakin kuat apabila PM mengumumkan cuti umum pada 4 September. Cuti itu adalah hadiah kerajaan kepada rakyat sempena tiga acara besar serentak—kemenangan kita dalam Sukan SEA, hari merdeka dan sambutan Hari Raya Haji.

5. Menariknya, saya perhatikan yang berteriak itu majoritinya anak muda, tanda terima kasih mereka kepada PM kerana mengembalikan kegagahan kita dalam sukan di rantau ini. PM pula membalas penghargaan ini dengan mengatakan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin adalah arkitek kejayaan ini.  Itulah simbolik penghargaan PM, mengucapkan terima kasih kepada Khairy untuk mengucapkan terima kasih kepada anak muda yang telah bersama dengan Khairy menciptakan kegemilangan dan kejayaan ini untuk negara kita.

6. Pagi kelmarin, 31 Ogos, kita sambut hari kemerdekaan.  Meriahnya sambutan cukup luar biasa.  Rakyat dari pelbagai kaum dan agama datang sejak awal pagi untuk meraikan hari bersejarah ini.

7. Dari atas pentas saya nampak semangat patriotik rakyat, saya rasa semangat rakyat menghargai  jasa pejuang kemerdekaan negara, saya lihat rakyat menyambutnya dengan penuh kegembiraan dan penghayatan, saya nampak konsep 1Malaysia kembali subur.

8. Hari ini kita menyambut Hari Raya Aidil Adha.  Selepas solat Raya, kita berkorban.  Jadilah tiga hari berturut-turut kita menyambut hari besar ini sebagai hari untuk kita bangkit bersama dan terus melangkah ke depan.

9. Merenung jauh, pagi ini saya betul-betul merasakan Negaraku Sehati Sejiwa.

No comments: