Translate

Tuesday, November 28, 2017

WUJUDKAH DISKRIMINASI TERHADAP WANITA DI MALAYSIA?


Salleh Said Keruak

1. Pada 2 November 2017, The Global Gender Gap Report menerbitkan laporannya tentang ketaksamaan gender.  Indeks yang digunakan untuk mengukur ketaksamaan tersebut ialah ekonomi, pencapaian pendidikan, kesihatan dan penguasaan politik.

2. Dengan mengambil kira skor 1 sebagai kesaksamaan dan 0 sebagai ketidaksamaan, skor Malaysia meningkat semakin baik dari 0.6550 (tempat 111 dari 144 buah negara) pada tahun 2015 kepada 0.6658 (tempat 106) pada tahun 2016, dan 0.670 (tempat 104) pada tahun 2017.  Skor ini tidak jauh bezanya dengan negara maju seperti Australia (0.731), Luxembourg (0.706), dan Amerika Syarikat (0.718).

3. Apa yang menyebabkan Malaysia kekurangan skor adalah kerana aspek penguasaan politik sahaja, iaitu Malaysia ketinggalan jauh dengan skor 0.058, Luxembourg (0.184), Amerika (0.124), dan Australia (0.232).  Jika jurang ini dikurangkan, maka soal ketaksamaan gender di Malaysia dapat dirapatkan.

4. Dengan Laporan Ketaksamaan Gender tersebut, ramai menyatakan kerajaan mendiskriminasikan kaum wanita.  Mereka memberikan contoh dari 71 ADUN Sarawak, hanya ada 7 orang wanita sahaja, dan daripada 222 ahli parlimen di Malaysia, hanya ada 24 ahli parlimen wanita sahaja (iaitu 10.8%).

5. Pertanyaannya, mengapa penilaian hanya dilihat dari aspek ‘political empowerment’ sahaja?  Bagaimana pula dengan dimensi ekonomi, pendidikan dan kesihatan? Jika dilihat dari dimensi ini, ternyata tidak ada diskriminasi terhadap wanita.  Data menunjukkan pada tahun 2013, lebih 86,798 wanita memasuki universiti berbanding lelaki, meningkat daripada 67,734 orang pada 2009.  Data The World Global Gender Gap Index 2017 juga meletakkan skor pencapaian wanita lebih tinggi berbanding lelaki dalam bidang pendidikan 0.991, kesihatan 0.977, dan ekonomi 0.654.  Ketaksamaan gender cuma ketara dalam aspek politik 0.058.

6. Jika kerajaan mendiskriminasaikan wanita, tentunya wanita tidak akan melebihi lelaki dalam tiga aspek yang dinyatakan tersebut.  Kerajaan tidak pernah mendiskriminasikan wanita, malah selalu menghargai sumbangan wanita dalam pembangunan negara. Malah, kerajaan juga mempunyai kementerian yang khusus mengenai wanita yang menjadi bukti kepada sikap prihatin kerajaan terhadap wanita.

No comments: